
Sesi bahas itu mula kecoh ketika Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang juga presiden PAS berucap.
Kekecohan tercetus apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mempersoalkan perbahasan Hadi tidak sentuh RMK13 kerana mendakwa keadaan pentadbiran di Kuala Lumpur dipenuhi masalah disebabkan kerajaan di bawah pemerintahan DAP, Pakatan Harapan (PH), dan rakan-rakannya.
“Ucapan Marang ini tak sebut soal RMK13,” kata Chong.
“Saya hadir dengar amanat Marang daripada PAS, kita hormati beliau. Sebagai pemimpin PAS, kenapa perlu Marang keluarkan kenyataan Kuala Lumpur bermasalah kerana ada DAP dan PH? Marang keluarkan sangkaan jahat,” kata Rayer.
Susulan itu, Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) bangkit menjelaskan ucapan turut sentuh RMK13 mengenai isu integriti dan cukai.
Rayer dan Chong masih tidak berpuas hati dan terus mempersoal ucapan Hadi.
Berang dengan tindakan itu, beberapa wakil rakyat pembangkang lain termasuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Zulkifly Jusoh (PN-Besut) menyifatkan Rayer cuba melakukan provokasi dan bersikap kurang ajar.
Suasana bertambah kecoh apabila Rayer mendakwa PAS sebagai ‘parti ajaran sesat’, mengundang rasa tidak puas hati wakil pembangkang, yang kemudian memintanya menarik balik kenyataan tersebut, antaranya Shahidan Kassim (PN-Arau).
“Tarik balik! Ini perbuatan biadab, sangkaan jahat! Perkataan PAS itu, tarik balik! Ini akan menimbulkan sifat bermusuh-musuhan! Tuduh parti ajaran sesat ini, kurang ajar!” kata Shahidan sambil meminta Timbalan Speaker Suhaizan Kaiat yang mengemudi dewan ketika itu membuat keputusan.
Keadaan semakin tegang sehingga memaksa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengambil alih sidang, dan memberi amaran keras kepada semua Ahli Parlimen termasuk tidak membenarkan Chong berucap.
“Saya lihat jelas, budak sekolah ada depan. Saya dengar dari ‘chamber’, berucap guna perkataan maki, guna perkataan tak elok. Kita bercakap nak negara maju, tak boleh macam ini, kena hormat sebagai pemimpin. Saya nak tutup kekecohan di sini dan saya minta Bentong teruskan perbahasan,” katanya.
Johari turut memberi amaran untuk menggantung Rayer dan Awang jika mereka terus melakukan perang mulut dan menunjukkan perangai kebudak-budakan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Hadi ketika ucapannya turut menyifatkan kerajaan yang membebankan kehidupan rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup, keruntuhan moral, jenayah, rasuah, dan lain-lain sebagai satu bentuk bencana.
“Rakyat wajib menukar kerajaan yang berpakaian tidak lengkap ini kerana kehilangan maruahnya dan hilang harga diri manusia yang dimuliakan Allah, di samping khianat terhadap amanah untuk mentadbir dunia dengan petunjuk Allah,” katanya.
Beliau juga secara berkias melalui pantun berkata Kuala Lumpur bermasalah kerana pentadbiran kerajaan disertai DAP dan PH:
“Sebab Kuala Lumpur punca masalah bawah DAP, PH dan rakan-rakannya. Pergi ke Sabah patah balik menuju Kelantan, jangan berlumpur tersungkur rebah, lebih baik letak jawatan,” katanya.