
Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lalu, yang membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan dan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakimannya.
Peguam negara berhujah, Najib tidak mempunyai kes yang boleh dipertikaikan yang memerlukan perbicaraan substantif.
Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim dan dua lagi panel Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah mendengar rayuan pada 2 dan 9 Julai lalu.
Zabariah, yang membacakan keputusan sebulat suara itu, berkata Najib juga boleh mengemukakan bukti baharu berhubung kewujudan tambahan perintah itu.
“Tetapi setakat ini, perintah tambahan itu wujud dan kesahihannya sama ada ia tulen atau tidak perlu dipastikan pada perbicaraan substantif.
“Kami tidak menganggap wajar atau adil untuk memberikan sebarang pandangan pada peringkat ini,” katanya.
Zabariah turut berkata panel hakim mengambil maklum bahawa peguam negara, yang hadir sebagai penjaga kepentingan awam pada peringkat permohonan kebenaran, telah mengakui kewujudan perintah tambahan itu.
Beliau berkata Najib telah memenuhi semua syarat untuk mengemukakan bukti baharu pada perbicaraan semakan kehakiman.
“Walaupun berada di penjara, beliau telah membuat pelbagai usaha untuk mengesahkan perintah tambahan itu dengan bantuan peguamnya,” katanya sambil menambah bahawa bekas perdana menteri itu juga memenuhi syarat ketekunan munasabah.
Hasnah berkata perbicaraan itu akan dijalankan di hadapan seorang hakim baharu yang telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau mengarahkan pengurusan kes diadakan pada 18 Ogos. “Hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan awal, iaitu sebulan selepas pihak-pihak memfailkan afidavit masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Najib dan pihak responden – iaitu menteri dalam negeri, ketua pengarah Jabatan Penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB), menteri undang-undang dan reformasi institusi, ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, serta kerajaan – untuk memfailkan afidavit mereka secara serentak.
Pada 2 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh menolak permohonan kebenaran Najib kerana afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan tersebut dianggap sebagai keterangan hearsay.
Najib mengetahui tentang perintah tambahan itu selepas FTPB mengumumkan pada awal Februari tahun lalu bahawa hukuman penjara 12 tahunnya dikurangkan separuh dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berkaitan kes SRC International.
Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada April tahun lalu, bersandarkan afidavit yang difailkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berdasarkan apa yang mereka baca pada telefon bimbit Tengku Zafrul Aziz.
Najib berkata beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, timbalannya Zahid, menteri undang-undang dan reformasi institusi, serta empat lagi responden bagi meminta pengesahan kewujudan perintah tambahan itu, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Anak Najib, Nizar, memfailkan afidavit sejurus sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan bagi menyokong permohonan bapanya untuk mengemukakan bukti baharu, yang kemudiannya dibenarkan oleh mahkamah berkenaan.
Nizar mendakwa Pengelola Istana Diraja Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman, telah mengesahkan kewujudan perintah tambahan itu dan mengesahkan ketulenannya.