
Norazlinah bersama Warisan ketika percaturan politik berlaku awal Januari 2023 itu turut membabitkan Presiden Shafie Apdal yang dikatakan bersekongkol dengan Umno untuk menggantikan kerajaan negeri dinaungi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut wakil rakyat penggal kedua itu, sebelum peristiwa terbabit, perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai di peringkat pusat pada 16 Disember 2022 yang ramai ahli Warisan berharap turut dilaksanakan di Sabah untuk manfaat rakyat.
MoU ditandatangani Hajiji (mewakili GRS), Shafie, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg.

“Kami berharap semua pemimpin besar bersatu hati, mengetepikan kepentingan peribadi atau parti dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Namun, malangnya yang berlaku sebaliknya – percubaan menjatuhkan pentadbiran Hajiji menerusi ‘Langkah Kinabalu’,” kata bekas ketua Wanita Warisan itu dalam satu temu bual bersama FMT.
Percaturan politik Shafie dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin itu gagal apabila tidak mendapat sokongan mencukupi. Malah, enam Adun Umno menyokong Hajiji.
Hajiji yang dilantik ketua menteri pada September 2020 turut menerima sokongan daripada wakil rakyat GRS dan PH.
Bung Moktar digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri.
Bulan lalu, Norazlinah dipetik berkata Langkah Kinabalu hanya untuk membolehkan pemimpin Warisan tertentu mendapat jawatan memandangkan parti itu dijanjikan antara empat atau lima kerusi Kabinet Sabah jika rampasan kuasa berkenaan berjaya.
“Secara peribadi, saya bersyukur usaha itu gagal kerana tidak mencukupi korum untuk menyokong usaha menjadikan presiden Warisan (Shafie) sebagai ketua menteri.
“Ramai Adun, terutama dari BN dan PH, tidak bersetuju serta memilih mengekalkan kerajaan sedia ada (pentadbiran Hajiji),” kata Norazlinah.
“Bagi saya, ini satu petanda dan mesej jelas kami telah dikhianati parti yang kononnya berjuang untuk hak rakyat.”
Keluar Warisan, dihargai Hajiji
Norazlinah menyifatkan episod hitam itu sebagai kemuncak kepada perjuangan beliau dalam Warisan, disertainya sejak parti itu ditubuhkan pada 2016.
Beliau yang keluar Warisan pada 6 Feb 2023 menyatakan tidak menyesali dengan keputusan itu, apatah lagi menyokong Hajiji yang menurutnya berusaha menyelesaikan isu rakyat secara senyap tanpa banyak retorik.
“Hajiji melayan semua Adun secara adil termasuk saya yang baharu menyertai GRS.
“Tiada lagi pengalaman menunggu ketua menteri lebih lapan jam,” katanya.
Warisan tolak BN, kini mahu bekerjasama?
Dalam pada itu, Norazalinah turut mempersoalkan ura-ura yang Warisan bakal bekerjasama dengan BN pada PRN walaupun Shafie telah mengumumkan parti itu akan bertanding solo di 73 DUN.
“Ketika mula menyertai parti itu, antara doktrin ditanamkan dalam fikiran kami adalah menjatuhkan BN,” katanya.
Namun kini, beliau berkata mereka dikatakan sanggup bekerjasama dengan BN untuk mengejar kuasa.