Kisah minyak Sarawak: Dari telaga zaman kolonial ke pentas dunia

Kisah minyak Sarawak: Dari telaga zaman kolonial ke pentas dunia

Transformasi industri minyak Sarawak dalam tempoh seabad dipacu kerjasama strategik.

petronas oil refinery
Sumbangan besar Petronas berjaya lonjak ekonomi Sarawak, dengan PNK per kapita kini cecah hampir RM80,000, menjadikan negeri itu antara yang terkaya di Malaysia. (Gambar Petronas)
PETALING JAYA:
Sarawak menjadi perintis dalam sejarah industri minyak dan gas (O&G) di Malaysia Timur –bermula dengan telaga minyak pertama Shell di Miri pada 1910, dan berkembang matang di bawah kelolaan Petronas selepas Akta Kemajuan Petroleum (PDA) berkuat kuasa 1974.

Seabad selepas penemuannya, Sarawak masih menjadi pemain penting dalam landskap O&G Malaysia.

Negeri itu telah menerima pendapatan berasaskan petroleum mencecah hampir RM96 bilion serta pelaburan dalam sektor huluan melebihi RM280 bilion.

Berpaksikan operasi Petronas di Miri dan Bintulu, Sarawak mengalami transformasi daripada sebuah ekonomi berteraskan pertanian menjadi salah satu daripada lima negeri di Malaysia
yang mencapai status berpendapatan tinggi, dengan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita RM77,997.

Namun, keadaannya tidak sentiasa begitu. Selama berdekad-dekad, kebanyakan hasil kekayaan dari medan minyak Sarawak mengalir keluar, dengan syarikat asing membawa keuntungan terbesar.

Hanya selepas Petronas ditubuhkan dan melalui satu ikhtiar peringkat nasional, manfaat daripada sumber asli ini dinikmati oleh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak, dengan lebih menyeluruh.

Kerjasama saling menguntungkan

Sektor O&G menjadi tunjang pertumbuhan dan pembangunan Sarawak sejak sekian lama, mengubah sebuah negeri yang dahulunya sangat bergantung perikanan dan pertanian kepada
kerancakan ekonomi.

Ketika sidang Dewan Rakyat pada Februari, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi menyuarakan harapan agar Petronas, selaku penggerak utama sektor O&G, akan terus menyumbang kepada usaha memperkasakan ekonomi negeri.

Nanta yang juga setiausaha agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti tonggaknya, PBB, sebelum ini turut memperakui sumbangan signifikan perbadanan minyak nasional itu kepada Sarawak.

Sebagai contoh, katanya dalam hantaran media sosial, Petronas menyumbang lebih RM600 juta untuk pembangunan modal insan di negeri itu sepanjang 10 tahun lalu.

Pada Julai tahun lepas, Bank Dunia mengiktiraf Sarawak sebagai salah sebuah daripada lima negeri di Malaysia yang berjaya mencapai status berpendapatan tinggi, status yang dicapai dengan dukungan Petronas.

Menurut laporan Bank Dunia, PNK per kapita Sarawak yang dicatatkan pada paras USD16,560 (RM77,997) tahun lepas menempatkannya di tangga keempat daripada lima negeri teratas.

Khazanah Sarawak

Sektor O&G merupakan komponen penting dalam ekonomi Sarawak. Sepanjang 50 tahun yang lalu, negeri ini menerima faedah kewangan berjumlah RM96 bilion daripada produk petroleum dan gas asli cecair (LNG), menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada Februari, Anwar juga memberitahu Dewan Rakyat, lebih RM280 bilion telah dilaburkan dalam pembangunan huluan dan prasarana sektor O&G di Sarawak sejak 1970an, yang menggariskan kepentingan minyak dan gas buat ekonomi negeri itu.

Meskipun Royal Dutch Shell ialah syarikat pertama yang menggerudi minyak di Sarawak, Petronas ialah entiti yang mengangkat produk petroleum sebagai penyumbang utama kepada ekonomi.

Namun, impak sektor O&G kepada Sarawak jauh melangkaui royalti, cukai dan dividen. Sektor ini mewujudkan peluang pekerjaan buat ribuan orang, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti setempat.

Daripada penemuan awal kepada pengeluaran berskala besar

Industri O&G mula bertapak pada 1910 apabila telaga minyak pertama digerudi di Canada Hill, Miri.

Shell menjadi syarikat pertama yang terlibat dalam carigali dan pengeluaran minyak di Sarawak.

Selama berdekad-dekad menjadi satu-satunya penggiat dalam sektor ini, Shell memberikan sumbangan besar kepada ekonomi setempat melalui gaji yang dibayar kepada pekerja, perolehan bekalan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan pelantar minyaknya, serta pembayaran royalti kepada pemerintah.

Bagaimanapun, agihan pulangan daripada sumber minyak Sarawak sendiri sangat kecil.

Sebagai contoh, Shell hanya membayar royalti sebanyak lima hingga 14 sen (setara dengan nilai ringgit pada 1978) kepada kerajaan Brooke bagi setiap tan minyak yang dikeluarkan. Kadar
ini kemudiannya dinaikkan kepada 40 hingga 80 sen setiap tan selepas Perang Dunia II.

Pada 1958, kerajaan memperkenalkan cukai pendapatan 40% ke atas hasil minyak, namun Shell kekal meraih sebahagian besar pulangan daripada kegiatan perniagaan minyak. Malah,
90% daripada keuntungan dipindahkan semula kepada para pemegang sahamnya di luar negara.

Situasi pulangan yang sangat rendah untuk Malaysia ini berterusan selama beberapa dekad.

Hanya selepas PDA berkuat kuasa barulah negara mula meraih faedah maksimum daripada sumber minyaknya.

Bagaimanapun, sumbangan Shell dalam aspek lain tidak boleh diabaikan. Meskipun hanya 5% hingga 10% daripada keuntungan minyak disalurkan kepada Sarawak sebelum 1974 – kebanyakannya dalam bentuk gaji kepada pekerja tempatan dan royalti kepada kerajaan – Shell menyediakan peluang pekerjaan dan latihan untuk penduduk tempatan.

Pada zaman 1960an, ramai rakyat Sarawak diambil bekerja sebagai juruteknik dan kakitangan perkeranian di Miri, manakala yang lain menerima biasiswa untuk mengikuti latihan sebagai ahli
geologi dan jurutera.

Ramai antara mereka kini bekerja dengan firma perunding tempatan dan Petronas.

Kemerosotan peranan Shell sebagai pemain utama dalam sektor O&G di Malaysia tidak dapat dielakkan selepas penggubalan PDA, namun syarikat itu kekal sebagai majikan kedua terbesar
dalam sektor O&G Sarawak, selepas Petronas.

Jentera tersusun rapi

Walaupun sumbangan Shell kepada Sarawak bukanlah kecil, ia tidak setanding dengan manfaat yang telah dibawa oleh Petronas kepada negeri itu.

Di bawah PDA, Petronas memegang hak penjagaan efektif ke atas sumber minyak dan gas Malaysia, dan bersamanya datang tanggungjawab untuk membangunkan industri O&G negara demi kemakmuran rakyat.

Syarikat-syarikat minyak asing seperti Shell terus beroperasi di Malaysia tetapi sebagai rakan kongsi dalam perjanjian perkongsian pengeluaran.

Bagi Sarawak, manfaat segera daripada penglibatan Petronas dalam sektor O&G ialah peningkatan besar dalam royalti yang diterimanya daripada perbadanan minyak nasional itu.

Sejak 1976, negeri itu menerima royalti 5% secara konsisten setiap tahun daripada hasil minyak dan gas. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah itu mencecah kira-kira RM600 juta
setahun.

Seiring dengan peningkatan harga minyak di seluruh dunia pada awal 1970an, sektor O&G di negara-negara pengeluar minyak turut menyaksikan pertumbuhan sektor perkhidmatan sokongan.

Keadaannya tidak berbeza di Sarawak, yang menyaksikan kemunculan pelbagai perkhidmatan merangkumi penyelenggaraan kemudahan dan saluran paip, kejuruteraan dan pembinaan pelantar, fabrikasi struktur, kerja-kerja sambungan dan pentauliahan luar pesisir, pemeriksaan dan pembaikan bawah air, pembekalan peralatan, logistik serta khidmat perundingan teknikal.

Kini, ada lebih 70 pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sarawak,
yang kebanyakannya memberikan perkhidmatan kepada Petronas.

Menurut Petronas, jumlah pembekal tempatan juga berkembang pesat. Dalam 10 bulan pertama pada 2023, 49 pembekal yang berpangkalan di Sarawak berjaya memperoleh kontrak Petronas atau yang diluluskannya, meningkat daripada hanya 11 pada tahun sebelumnya.

Pada 17 Feb, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, dalam tempoh sedekad sejak 2014, vendor berdaftar di Sarawak memperoleh kontrak bernilai lebih RM40 bilion daripada Petronas.

Puluhan vendor yang berpangkalan di Sarawak telah diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan Petronas dan dalam proses itu, mereka turut menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk
tempatan. Sebagai contoh, Transfame Sdn Bhd yang beroperasi di Miri, penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan huluan untuk projek luar pesisir, mempunyai kira-kira 2,000 kakitangan, kebanyakannya rakyat Sarawak.

Kontraktor Sarawak akan diberi keutamaan bagi 600 kategori kerja menjelang 2030, meningkat daripada 63 pada masa ini, menggariskan kepentingan yang diletakkan oleh Petronas terhadap pembangunan keupayaan tempatan.

Rakyat Sarawak juga diberi keutamaan untuk bekerja dengan Petronas. Daripada 4,631 kakitangannya yang berpangkalan di negeri ini hari ini, 4,173 orang, atau 90.11%, merupakan anak Sarawak.

Pada peringkat eksekutif, 1,524 kakitangan berpangkat dari eksekutif hingga pengurus, dan pada peringkat pengurusan pula, 70 kakitangan berpangkat pengurus kanan hingga pengurus besar kanan – kesemuanya rakyat Sarawak.

Lahirnya bandar dipacu industri minyak

Impak paling ketara daripada kehadiran Petronas di Sarawak sudah tentulah pertumbuhan Miri, tempat Shell pertama kali menemukan minyak, dan Bintulu, yang menempatkan salah satu loji
LNG terbesar di dunia.

Bintulu yang kini merupakan hab perindustrian, pada asalnya hanyalah sebuah perkampungan nelayan yang sepi pada 1960an.

Loji LNG pertama mula beroperasi pada 1978 dan mula mengeksport pada 1983. Loji itu kini mempunyai sembilan jentera pencairan dengan kapasiti gabungan 25 juta hingga 30 juta tan setahun, menjadikan Bintulu salah satu pusat eksport LNG utama di dunia.

Petronas memegang saham majoriti dalam loji tersebut, dengan kerajaan Sarawak dan sebuah syarikat Jepun sebagai rakan kongsi minoriti.

Selain LNG, Petronas juga mengendalikan sebuah kemudahan gas-kepada-cecair dan sebuah loji pengeluar baja urea.

Menurut Petronas, keputusan pada akhir 1970an untuk menempatkan loji LNG di Bintulu, beserta sebuah pelabuhan laut dalam yang baharu, menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pesat bandar itu.

Projek LNG itu menarik ribuan orang ke Bintulu. Menjelang 2020, populasi bandar itu mencecah 114,000 penduduk, satu peningkatan ketara berbanding hanya beberapa ribu orang pada
zaman 1970an.

Loji LNG itu juga memberikan rangsangan ekonomi khususnya kepada Bintulu, dan Sarawak secara amnya. Industri berasaskan minyak di bandar itu diunjurkan menyumbang RM14 bilion
hingga RM15 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.

Impak ke atas Miri malah lebih signifikan. Petronas menempatkan ibu pejabat operasi petroleum luar pesisirnya di bandar itu, yang memerlukan penyediaan ruang pejabat, pangkalan
bekalan dan kediaman pekerja untuk pelbagai projek carigali, penggerudian dan pengeluaran di rantau tersebut.

Daripada populasi sekitar 20,000 orang sebelum perang, jumlah penduduk Miri berkembang kepada lebih 350,000 orang pada masa kini, dipacu sepenuhnya oleh kegiatan industri O&G.

Miri, yang mencapai status bandar raya pada 2005, kini turut berperanan sebagai hab komersial bagi wilayah utara Sarawak, serta Brunei.

Kesimpulan

Tidak dapat disangkal lagi, industri O&G memainkan peranan signifikan dalam pembangunan Sarawak. Meskipun Shell merupakan perintisnya, namun Petronas yang menjadikannya penjana pendapatan utama untuk negeri itu.

Jutaan rakyat Sarawak telah mendapat manfaat – secara langsung mahupun tidak langsung – daripada usaha Petronas memanfaatkan sumber minyak dan gas untuk tujuan komersial.

Sektor ini mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana peluang perniagaan, menarik tenaga kerja mahir, melahirkan industri sokongan dan memacu pembangunan prasarana awam, yang
kesemuanya membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.