Hantar draf bina rumah peladang, pemimpin PSM bergelut di luar Parlimen

Hantar draf bina rumah peladang, pemimpin PSM bergelut di luar Parlimen

Timbalan Pengerusi S Arutchelvan ketuai ratusan pekerja ladang dalam usaha menyeru kerajaan sedia rumah kepada golongan itu kerana gaji rendah.

Lebih 100 pekerja ladang dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, dan Johor hadir semata-mata untuk menyerahkan draf itu di Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Suasana tenang bertukar kecoh selepas berlakunya pergelutan antara seorang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan polis dalam perarakan pekerja ladang ke pintu pagar Parlimen.

Timbalan Pengerusi S Arutchelvan yang mengetuai pekerja ladang tersebut turut terjatuh ketika kekecohan tercetus.

Sebelum itu, Arutchelvan yang lebih mesra dipanggil Arul bersama beberapa pemimpin PSM dan pekerja ladang berarak ke pintu pagar Parlimen, bagi menyerahkan satu draf menyeru kerajaan menggubal akta pemilikan rumah.

Namun selepas kekecohan itu polis membenarkan pekerja ladang itu berkumpul dan menyerahkan draf tersebut di luar pagar Parlimen.

Ketika ditemui media, Arul berkata kekecohan itu berlaku kerana terdapat sedikit salah faham dengan polis.

“Kami sudah maklumkan kepada semua Ahli Parlimen yang akan datang sampai pintu pagar Parlimen.

“Tetapi, kita lihat mereka (polis) cuba asing pekerja ladang dengan Parlimen dan minta kita jangan berkumpul sampai pintu Parlimen. Kita takkan masuk dalam pagar tetapi mereka (polis) mahu kita berdiri jauh dari pintu pagar Parlimen. Sebenarnya tak ada isu,” katanya.

Sementara itu, Arul berkata lebih 100 pekerja ladang dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, dan Johor hadir semata-mata untuk menyerahkan draf itu.

Katanya, draf tersebut diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dan wakil pembangkang yang juga ketua whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan.

“Kita beri dokumen 200 muka surat daripada zaman (bekas perdana menteri) Abdul Razak (Hussein) sehingga sekarang.

“Akta ini kita sudah buat draf. Akta ini kita sudah beri kepada lima kerajaan negeri dan menteri sumber manusia. Ini terakhir nak beri kepada perdana menteri,” katanya.

Arul juga berkata, masalah dihadapi pekerja ladang masa ini adalah rata-rata mereka telah berkhidmat 60 tahun, tetapi tidak mempunyai tempat tinggal.

Beliau berkata, antara punca disebabkan gaji diterima rendah.

“Kita hanya minta untuk 20% pekerja ladang tempatan. Masa Razak dulu ada satu skim semua ladang-ladang perlu bina rumah…tetapi tidak dibuat undang-undang ketika itu.

“Kerana tidak ada undang-undang orang tidak ikut. Kita minta kerajaan buat undang-undang (bina rumah untuk pekerja ladang tempatan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.