Cadangan mansuh cukai jalan motosikal RM2 mesti bersyarat, kata pakar

Cadangan mansuh cukai jalan motosikal RM2 mesti bersyarat, kata pakar

Law Teik Hua berkata pemilik motosikal bawah 150cc perlu diwajibkan perbaharui insurans setiap tahun.

Timbul cadangan supaya kerajaan memansuhkan cukai jalan motosikal bawah 150cc menjelang Belanjawan 2026.
PETALING JAYA:
Cadangan pemansuhan cukai jalan motosikal bawah 150cc berharga RM2 boleh dilaksanakan dengan bersyarat iaitu mewajibkan pemilik memperbaharui insurans setiap tahun.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berkata langkah itu mampu meringankan serba sedikit beban kewangan khususnya golongan berpendapatan rendah, namun perlu disertai mekanisme kawalan yang jelas.

Law Teik Hua
Law Teik Hua.

“Satu pilihan ialah pemansuhan cukai jalan secara bersyarat, misalnya pengecualian hanya diberi jika pemilik memperbaharui insurans pihak ketiga setiap tahun.

“Alternatif lain ialah pendaftaran automatik percuma secara dalam talian, tetapi tetap mewajibkan semakan status insurans dan kelayakan kenderaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pembaharuan cukai jalan lazimnya digabungkan dengan pembaharuan insurans bagi memastikan kenderaan tersebut ‘sah’ digunakan di jalan raya.

“Jika ia dimansuhkan tanpa sebarang syarat, risiko utama ialah bertambahnya jumlah motosikal yang tidak dilindungi insurans atau tidak diselenggara dengan baik. Ini bukan sahaja membahayakan penunggang, tetapi juga pengguna jalan raya lain.

“Ketiadaan rekod pembaharuan tahunan juga boleh menyukarkan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.”

Katanya, kos pemilikan motosikal yang semakin rendah akibat pemansuhan cukai jalan juga berpotensi menggalakkan lebih ramai individu menggunakan mod itu, sekali gus menambah kompleksiti masalah keselamatan jalan raya seperti kemalangan maut dan kesalahan lalu lintas.

Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

Sementara itu, pakar ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula berpendapat cukai jalan motosikal bawah 150cc boleh dikekalkan.

“Tetapi, kerajaan kena tunjuk dengan jelas bagaimana mereka guna kutipan cukai jalan itu untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Ini penting agar nasib penunggang motosikal sentiasa terjaga, pada masa sama jumlah kemalangan juga dapat dikurangkan,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan hasrat orang awam supaya kerajaan dapat memansuhkan kadar cukai jalan bagi motosikal bawah 150cc yang dilihat mampu menjimatkan perbelanjaan, menjelang Belanjawan 2026.

Kebanyakan pengguna berkata, walaupun jumlah cukai jalan itu kecil, kos tersebut perlu ditanggung bersama minyak, servis, insurans, dan lain-lain terutama bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan itu untuk mencari rezeki dan urusan harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.