
Ramkarpal (PH-Bukit Gelugor) berkata, Akmal mengeluarkan beberapa kenyataan ‘melampau dan keterlaluan’, yang bersifat memecah-belah serta mengandungi unsur perkauman.
Menurutnya, kenyataan sedemikian berpotensi menggugat ketenteraman awam.
“Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap Akmal,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
“Persoalannya, mengapa? Adakah beliau mempunyai kekebalan atau keistimewaan daripada siasatan atau pendakwaan?”
Ramkarpal berkata, beliau dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Akmal, dan tokoh politik bersuara lantang itu mungkin telah melakukan beberapa kesalahan.
Selain kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akmal juga boleh disiasat atas kesalahan menakut-nakutkan secara jenayah, sengaja mengaibkan dengan niat untuk membangkitkan kekacauan, serta mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, katanya.
“Saya menyeru kementerian berkaitan memberi jawapan segera sama ada tindakan akan diambil dalam masa terdekat,” kata Ramkarpal.
Beliau juga berkata, ‘ultimatum’ Akmal kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar mendakwa seseorang dalam tempoh masa yang ditetapkan adalah tidak wajar dan memberikan tekanan yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Adakah AGC akan mengeluarkan kenyataan memberi amaran kepada Akmal agar tidak mencampuri proses siasatan? Jika tidak, mengapa tiada tindakan diambil sedangkan jelas tindakan sepatutnya boleh diambil dengan segera?” soalnya.
Ramkarpal berkata, pihak berkuasa mesti bertindak segera untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memberi isyarat jelas bahawa tiada sesiapapun yang mengatasi undang-undang, tanpa mengira kedudukan politik.
Sebelum ini, Akmal menyeru tindakan awam diambil terhadap seorang pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun di Pulau Pinang yang secara tidak sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, kesilapan yang segera dibetulkan selepas disedari.
Kontroversi tercetus apabila Akmal mengugut untuk mengadakan demonstrasi di kedai perkakasan tersebut jika pemiliknya tidak didakwa sebelum Khamis, sambil berkata beliau akan mengadakan kelas untuk ‘ajar apek ini’ cara memasang bendera dengan betul.
Hari ini, pihak polis menasihatkan agar protes itu tidak diteruskan, memandangkan pemilik kedai itu sudah menyelesaikan isu tersebut.