Ahli Parlimen Pendang pertahan bangkit 13 Mei, hanya ‘peringatan mesra’

Ahli Parlimen Pendang pertahan bangkit 13 Mei, hanya ‘peringatan mesra’

Awang Hashim berkata, tiada salahnya bercakap mengenai rusuhan kaum itu, malah ia diajar kepada pelajar Tingkatan Lima.

Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim berkata, berulangnya tragedi 13 Mei boleh menghancurkan kemajuan yang telah dicapai negara ‘dalam sekelip mata’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen PAS hari ini mempertahankan tindakannya yang berulang kali membangkitkan insiden rusuhan kaum 13 Mei ketika perbahasan di Dewan Rakyat, sambil menegaskan ia bukanlah suatu ugutan, sebaliknya sekadar ‘peringatan mesra’.

Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim berkata, tiada salahnya untuk bercakap mengenai tragedi itu kerana ia sebahagian topik yang diajar kepada pelajar Tingkatan Lima

“Jangan beritahu saya guru-guru yang mengajar ini di sekolah bersalah menghasut?” soalnya ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hari ini.

Awang berkata, beliau membangkitkan isu 13 Mei itu bagi menekankan kepentingan perpaduan serta untuk mengelakkan berulangnya tragedi yang disifatkannya boleh menghancurkan kemajuan negara ‘dalam sekelip mata’.

“Ini peringatan yang mesra kepada kita semua,” katanya.

“Kita tak naklah benda ini berlaku lagi. Kita dah bangun ekonomi, bangunan kita dah tinggi-tinggi, tetapi benda macam ini boleh hancurkan kita sekelip mata.”

Awang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat minggu lepas apabila beliau membangkitkan semula tragedi 13 Mei semasa mengkritik RMK13, yang didakwanya kekurangan inisiatif khusus untuk masyarakat Bumiputera.

Dalam pada itu, Awang turut mempersoalkan mengapa peruntukan RM100 juta untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) masih belum disalurkan.

Beliau kemudiannya menyarankan RSN Rayer (PH-Jelutong) serta Ahli-ahli Parlimen India yang lain agar membawa perkara itu terus kepada perdana menteri.

Rayer lantas membidas dan menuduh Awang membuat ‘tuduhan dan sangkaan jahat’ tentang sama ada beliau dan Ahli Parlimen India lain telahpun membangkitkan isu itu.

“Bagaimana Yang berhormat Pendang tahu bahawa saya, atau Yang Berhormat lain di sini, tidak membawa perkara ini kepada perhatian perdana menteri?” soalnya.

Rayer menjelaskan, beliau sendiri telahpun menyuarakan isu Mitra dalam mesyuarat pra-majlis.

Timbalan Speaker Syahredzan Johan kemudian meminta Awang memperbetulkan gesaannya ‘supaya Ahli-ahli Parlimen mengadu kepada perdana menteri berhubung isu Mitra’, dan Awang bersetuju dengan permintaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.