RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang

RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang

Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang.

lencana malaysia badge
Sejumlah RM8.4 juta diperuntukkan bagi perolehan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah RM8.4 juta diperuntukkan bagi perolehan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di institusi pengajian di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut KPM menerusi jawapan bertulis di laman Parlimen, lencana dibekalkan kepada pelajar di sekolah, kolej matrikulasi, kolej Tingkatan 6 dan institut pendidikan guru dengan setiap orang diberikan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma.

“Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan institusi pendidikan yang berkenaan pada Februari 2025. Peruntukan ini diselaraskan mengikut enrolmen murid dan pelajar.

“Proses perolehan dilaksanakan oleh JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah serta institusi berkenaan melalui sistem e-Perolehan sama ada secara tender atau sebut harga tertakluk kepada peruntukan yang diterima,” menurut KPM.

Ia bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai kos ditanggung kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua murid di bawah institusi pendidikan KPM serta syarikat yang membekalkannya.

JPN diberi kebenaran untuk melaksanakan perolehan mengikut zon bagi menyegerakan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal.

Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.