Peguam mohon lucut kelayakan Anwar sebagai PM, Ahli Parlimen Tambun

Peguam mohon lucut kelayakan Anwar sebagai PM, Ahli Parlimen Tambun

P Waytha Moorthy berkata, perintah pengampunan tak nyata secara jelas halangan lima tahun tanding pilihan raya dimansuhkan.

P Waytha Moorthy Anwar Ibrahim
Peguam P Waytha Moorthy mohon Mahkamah Tinggi isytihar pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022, dan seterusnya sebagai PM lima hari kemudian, batal dan tidak sah.
KUALA LUMPUR:
Peguam P Waytha Moorthy memfailkan saman bagi mendapatkan deklarasi bahawa Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada November 2022 dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau berhujah, pengampunan diraja yang diterima Anwar pada 2018 tidak menyatakan beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas bebas dari penjara.

Waytha, seorang menteri dalam kerajaan Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020, memohon Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022, dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, batal dan tidak sah.

Saman pemula itu difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi oleh peguam cara Tetuan Karthig Shan, dengan Anwar dinamakan sebagai defendan.

Waytha yang memfailkan tindakan itu atas kapasitinya sebagai peguam berkata, beliau mengemukakan tindakan kepentingan awam ini untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, serta melindungi integriti demokrasi berparlimen Malaysia.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu berkata, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan.

Waytha juga memohon relif-relif lain yang dianggap patut dan wajar oleh mahkamah, serta kos.

Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong ketika itu memberikan pengampunan penuh kepada Anwar bagi tiga kes melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan liwat, atas alasan ‘berlakunya salah laksana keadilan’.

Anwar memberitahu satu sidang akhbar bahawa pengampunan itu juga dibuat atas dasar wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan beliau dan memusnahkan karakter politiknya.

“Pengampunan ini lengkap dan tidak bersyarat. Keseluruhan sabitan dihapuskan secara automatik,” katanya.

Anwar kemudiannya dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson menerusi satu PRK pada Oktober 2018.

Seorang pengundi mengemukakan saman serupa bertujuan mempersoalkan kelayakan Anwar untuk bertanding pada PRK itu, namun ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2018.

Waytha berhujah, perintah pengampunan itu tidak menyatakan pemansuhan pengecualian lima tahun dari 16 Mei 2018, iaitu tarikh Anwar dibebaskan dari penjara.

Beliau berkata, menurut Perkara 48(3) Perlembagaan, Anwar tidak boleh bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat selama lima tahun selepas menerima pengampunan, justeru presiden PKR itu telah salah nyatakan dirinya sebagai layak bertanding pada PRU 2022.

Katanya, tempoh hilang kelayakan lima tahun bagi Anwar masih berkuat kuasa pada masa beliau memfailkan kertas pencalonannya dan dipilih pada 19 Nov 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.