
Dalam mesyuarat jawatankuasa perundingan antara Presiden MPM Jeffry Kassim dengan Majlis Peguam, pengerusi-pengerusi mahkamah dan pihak berkepentingan lain baru-baru ini, MPM berkata, terdapat insiden di mana peguam tidak kekal menunjukkan sikap hormat di dalam mahkamahnya.
Menurut pekeliling Majlis Peguam yang dilihat oleh FMT, mahkamah itu berkata, segelintir peguam gagal mematuhi tatasusila dan kesantunan professional di hadapan pengerusi-pengerusi mahkamah perusahaan.
Dalam maklum balas segera ketika mesyuarat, wakil Jawatankuasa Undang-undang Industri dan Pekerjaan (IELC) Majlis Peguam memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap ahli yang tidak menunjukkan sikap hormat.
“Mana-mana ahli yang gagal mematuhi peruntukan Kaedah-Kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etiket) 1978 boleh berdepan tindakan aduan kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara,” katanya.
Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar Majlis Peguam mengeluarkan pekeliling untuk mengingatkan para peguam supaya kekal berkelakuan sopan dan profesional di hadapan mahkamah perusahaan.
Pihak lain yang turut hadir pada mesyuarat itu terdiri daripada wakil-wakil daripada Persatuan Peguambela Sarawak, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Dalam pada itu, IELC menggesa MPM agar menangani isu kekurangan jurubahasa bertauliah di mahkamah-mahkamah perusahaan, yang menjejaskan prosiding.
MPM berkata, pihaknya telah mengambil langkah-langkah untuk menangani kekurangan tersebut dengan melantik enam jurubahasa sementara secara kontrak melalui MySTEP, termasuk tiga yang dilantik pada April dan Mei.
“Pelantikan ini boleh dibaharui setiap tahun. Walaupun MPM akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi semua permintaan mendapatkan jurubahasa di semua cawangannya, pihak-pihak terbabit juga digalak menggunakan jurubahasa sendiri apabila perlu,” katanya.