
Fadhlina berkata, seluruh warga Kementerian Pendidikan (KPM) sangat berduka cita dengan kejadian menimpa pelajar Tingkatan Satu itu, bulan lalu.
“Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama KPM. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fadhlina turut memaklumkan, pihaknya menerima memorandum #KeadilanUntukZara yang disampaikan peserta himpunan aman kepada Ketua Setiausaha KPM Aminuddin Hassim di bangunan Parlimen hari ini.
Tambahnya, beliau juga menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di bangunan Parlimen bagi membincangkan secara lanjut kebimbangan yang dibangkitkan.
Awal hari ini, sekumpulan aktivis pelajar termasuk Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia dilaporkan berarak hampir 2km dari Taman Tugu ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Fadhlina.
Malaysiakini melaporkan, perhimpunan itu bersurai pada 12 tengah hari setelah dihalang polis kira-kira 200m dari pintu utama Parlimen, dengan pihak berkuasa membentuk sekatan manusia.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, antara empat tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum itu termasuk desakan agar reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan nasional, khususnya berkaitan isu buli.
Sebagai maklum balas, Fadhlina berkata, KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“Ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat,” katanya.
Selain itu, memorandum itu turut menuntut KPM memberikan penjelasan terbuka mengenai isu buli, khususnya tindakan yang diambil oleh pihak sekolah.
Fadhlina berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung kes ini, dan perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh polis.