Ibu pelatih Palapes UTM dakwa rakan diam diri berkait kematian anak

Ibu pelatih Palapes UTM dakwa rakan diam diri berkait kematian anak

Ibu Syamsul Haris Shamsudin juga kecewa kerana jawatankuasa siasatan bersama yang ditubuhkan pada 2 Ogos masih belum beri sebarang perkembangan.

utm
Pelajar UTM Syamsul Haris Shamsudin meninggal dunia pada 28 Julai lalu dalam keadaan yang tidak jelas dan meragukan ketika menjalani latihan Palapes di Pusat Latihan Peperangan Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor. (Gambar UTM)
KUALA LUMPUR:
Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin melahirkan rasa kecewa kerana rakan-rakan anaknya terus berdiam diri mengenai kejadian yang menyebabkan kematian anaknya.

Ummul Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata beliau menghampiri beberapa pelatih Palapes yang hadir ketika pengebumian anaknya tetapi mereka memberi jawapan yang sama dan segera menjauhkan diri.

“Semua mereka hanya menjawab ‘tidak tahu’, ‘tidak nampak apa yang berlaku’ ketika ditanya mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu sidang media.

Syamsul, 22, anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia pada 28 Julai dalam keadaan yang tidak jelas dan meragukan ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Peperangan Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.

Beliau memulakan latihan pada 26 Julai dan dijadualkan menamatkannya pada 3 Ogos.

Keluarganya menuntut siasatan telus dan adil, termasuk bedah siasat kali kedua.

Tuntutan itu susulan dakwaan Ummul Haiman bahawa tubuh Syamsul menunjukkan kesan lebam dan kecederaan yang konsisten dengan serangan fizikal, bukannya sawan.

Ummul Haiman turut melahirkan rasa kecewa kerana jawatankuasa siasatan bersama yang ditubuhkan pada 2 Ogos masih belum memberikan sebarang perkembangan.

Beliau juga mengulangi permintaan supaya peguamnya, Naran Singh, dimasukkan ke dalam jawatankuasa siasatan tersebut.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata jawatankuasa itu dijangka menyiapkan laporan tidak lama lagi.

Mengenai hubungan anaknya dengan rakan-rakan, Ummul mendedahkan bahawa Syamsul pernah mengadu diganggu oleh seorang pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.