Guru Pasti telah dimaklum elaun rendah, kata Ahli Parlimen PAS

Guru Pasti telah dimaklum elaun rendah, kata Ahli Parlimen PAS

Afnan Hamimi Taib Azamudden tepis dakwaan Nik Nazmi Nik Ahmad yang pembayaran elaun RM700 guru Pasti sebagai melanggar undang-undang.

Pasti adalah pra-sekolah Islam ditubuhkan Pemuda PAS, pada akhir 1980-an untuk menyediakan alternatif pendidikan awal kanak-kanak berteraskan agama.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menepis dakwaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH–Setiawangsa) kononnya pembayaran elaun antara RM600 hingga RM700 kepada guru di pra-sekolah kendalian PAS melanggar undang-undang gaji minimum.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) berkata tidak adil membandingkan tugas guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dengan pekerja di sektor swasta.

Menurutnya, kebanyakan guru Pasti secara sukarela menawarkan diri mengajar walaupun dimaklumkan lebih awal bayaran elaun diberikan adalah rendah.

“Setiawangsa cuba memberikan maklumat tidak tepat kononnya Pasti yang kami kelolakan seolah-olah berlaku ketidakadilan terhadap guru.

“Guru-guru sukarelawan ini bekerja tanpa meminta imbuhan… sejak mula bertugas di premis Pasti mereka menyatakan hasrat berkhidmat dengan ikhlas walaupun diberitahu elaun tidak dapat dibayar tinggi kerana yuran rendah.

“Mereka kata tidak mengapa, mereka mahu menyumbang tenaga,” kata ketua Pemuda PAS itu dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat sambil menegaskan Nik Nazmi sepatutnya berterima kasih kepada parti itu kerana menambah kemudahan prasekolah.

“Keikhlasan guru inilah membantu masyarakat hari ini mengenal ABC, Alif Ba Ta.

Semalam, Nik Nazmi dalam perbahasan RMK13 menyifatkan ‘tidak adil’ kepada lebih 9,500 guru Pasti hanya menerima elaun antara RM600 hingga RM700, jauh di bawah kadar gaji minimum.

Bekas naib presiden PKR itu berkata alasan guru itu dilabel sukarelawan dan bukannya pekerja sebagai tidak boleh diterima.

Bekas menteri itu berkata perkara itu bercanggah dengan peraturan gaji minimum RM1,700 dan mengelak kewajipan lain seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagaimanapun, Afnan menepis tuduhan Nik Nazmi yang tiada caruman KWSP dan Perkeso diberikan kepada guru Pasti.

“Guru Pasti kita mencarum KWSP i-Saraan dan Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS),” katanya.

Pasti adalah pra-sekolah Islam yang ditubuhkan Pemuda PAS, pada akhir 1980-an untuk menyediakan alternatif pendidikan awal kanak-kanak berteraskan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.