
Gesaan ini menyusuli kes kematian Zara Qairina Mahathir, dengan wakil rakyat PAS itu menegaskan tugas warden tidak seharusnya dibebankan ke atas guru.
“Guru mengajar siang hari, malam pula kena jaga asrama, dan esok pagi sambung mengajar semula. Guru bukan robot. Mereka juga perlukan rehat,” katanya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13.
Selain mewujudkan jawatan khas untuk warden sepenuh masa, Afnan mencadangkan KPM menjalankan audit keselamatan berkala di sekolah, menambah pemasangan kamera litar tertutup, dan menubuhkan jawatankuasa khas Jemaah Menteri berhubung isu buli.
“Apa gunanya ekonomi melambung naik jika manusia yang menggerakkannya makin runtuh?” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara semalam mengumumkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih siasatan kes kematian Zara, yang mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli.
Katanya, penghantaran petugas khas itu sebahagian daripada komitmen untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.