
Cham Shan Jer, 31, didakwa melanggar Muhamad Fahrulradi Sabran menggunakan sebuah kereta di Jalan Usahawan 6, Setapak, pada 11.15 malam, 1 Ogos lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes itu serius, iaitu cubaan membunuh seorang anggota polis.
Bagaimanapun, peguam Nurul Fatihah Abdul Ghani yang mewakili Cham memohon supaya jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak dan turut menjaga ibu bapanya.
“Anak guam saya seorang ibu tunggal, mohon supaya jaminan dibenarkan pada kadar paling minimum,” katanya.
Hakim Azrol Abdullah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.