
Setiausaha Eksekutif AMH, Azuan Masud, berkata kelewatan dalam menyiapkan laluan penting WCE ini telah menjejaskan ribuan pengusaha lori di seluruh negara.
“Seksyen berkenaan adalah laluan penting yang dijangka mampu mengurangkan kesesakan sepanjang Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), terutama bagi kenderaan perdagangan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang.
“Kelewatan ini menyebabkan kami terpaksa bergantung kepada laluan sedia ada yang semakin sesak sekali gus meningkatkan masa perjalanan, kos bahan api, penyelenggaraan dan menjejaskan jadual penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Jun lalu, WCE Sdn Bhd menyatakan bahawa mereka telah membayar 70% pampasan bagi pengambilan tanah di Kampung Jawa setakat 30 Sept 2023, selaras dengan Akta Pengambilan Tanah.
Syarikat itu menafikan dakwaan pengusiran secara paksa, dan menjelaskan dakwaan itu datang daripada sebilangan kecil pemilik yang enggan mengosongkan tanah walaupun syarikat memperolehnya secara sah daripada Putrajaya.
Katanya, pemilik tanah ini telah kekal di tanah tersebut selama lebih 20 bulan walaupun pampasan telah dibayar.
Menurutnya, keadaan itu melambatkan pembinaan laluan lebuh raya utama, yang dijangka akan menghubungkan laluan-laluan utama seperti Lebuhraya Persekutuan, Kesas, dan Lebuhraya Lembah Klang Baru.
Azuan berkata persatuan memahami proses pengambilan tanah adalah rumit tetapi menyeru semua pihak mencari penyelesaian segera demi kepentingan ekonomi negara.
Beliau juga menggesa Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat konsesi mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tanah supaya projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
“Penangguhan ini memberi kesan besar kepada pengusaha pengangkutan, terutama yang memerlukan akses pantas ke dan dari Pelabuhan Klang,” katanya.