
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, taktik dipercayai digunakan bagi mengelak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap jualan tanpa lesen sah itu.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama agensi berkaitan kini mempergiat operasi pemeriksaan dan pengesanan bagi membanteras kegiatan penjualan rokok elektronik tidak sah termasuk jualan cecair nikotin tanpa lesen sah.
“Tindakan itu dilihat sebagai cubaan untuk mengaburi (mata) pihak berkuasa apabila premis terbabit kelihatan seperti menjalankan operasi biasa, namun sebenarnya menjual produk rokok elektronik secara tersembunyi tanpa lesen sah,” katanya, lapor Bernama,
“Kami (kerajaan negeri) setakat ini tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk masyarakat menjual produk ini. Bahkan, kami akan melaksanakan operasi secara berterusan untuk terus mengekang jualan produk ini daripada terus berleluasa di pasaran.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Op Selamat Paru-Paru Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Ahmad Faris Awang.
Hilmi berkata, setakat Julai lepas, 65 operasi rampasan rokok elektronik dilakukan di seluruh negeri, dengan 2,425 unit peranti dan 42,159 cecair nikotin dirampas.
Tambahnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu merekodkan jumlah rampasan paling tinggi, iaitu 21,500 unit peranti termasuk cecair nikotin, diikuti Majlis Daerah Tanah Merah (2,274 unit); Majlis Daerah Tumpat (9,767 unit); dan Majlis Daerah Pasir Puteh (137 unit).
“Kebiasaannya, peniaga yang dikesan menerusi operasi yang dilaksanakan ini tidak akan serik memandangkan jualan produk ini memberi keuntungan besar,” katanya.
“Jika terkena, mereka akan menukar pendaftaran premis dengan perniagaan lain untuk memulakan semula jualan produk itu walaupun telah dikenakan kompaun sehingga maksimum RM2,000.”