Pelaburan digital rekod RM3.29 bilion dalam 6 bulan tahun ini, kata menteri

Pelaburan digital rekod RM3.29 bilion dalam 6 bulan tahun ini, kata menteri

Menteri Gobind Singh Deo berkata pelaburan itu mewujudkan lebih 6,920 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi.

Gobind Singh Deo berkata Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) telah mencapai beberapa kemajuan signifikan dari segi pelaburan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia berjaya meraih pelaburan digital berjumlah RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Menurutnya, pencapaian itu sekali gus membuka lebih 6,920 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi di seluruh negara.

“Bagi separuh pertama tahun 2025, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) telah mencapai beberapa kemajuan signifikan dari segi pelaburan. Di bawah inisiatif strategik Malaysia Digital (MD), sektor kecerdasan buatan (AI) berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.

“Ia turut berpotensi mewujudkan 6,920 peluang pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) yang meminta menteri digital menjelaskan kemajuan dicapai NAIO setakat ini serta sumbangannya kepada pembangunan AI.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, bagi memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap AI serantau, NAIO dengan kerjasama MyDigital akan menyelaras penganjuran Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 pada 12 hingga 13 Ogos 2025, bertemakan “Menerajui Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di ASEAN”.

“Sidang kemuncak ini akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kepimpinan dan kerjasama serantau dalam bidang AI,” katanya.

Gobind turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan kajian impak AI terhadap sektor awam melibatkan 28 kementerian, yang kini berada di fasa akhir, bagi memacu penggunaan AI merentas sektor.

“NAIO telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, dan setakat ini sebanyak 55 kes penggunaan (use cases) telah dikenal pasti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.