
Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU) Anuar Abd Rahman berkata, kertas siasatan itu dihantar ke pejabat TPR pada 2.30 petang tadi.
“Kertas siasatan dirujuk kepada TPR untuk semakan, dan dimaklumkan ia akan dibawa ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu dilaporkan pemilik kedai berusia 59 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas keterangannya dirakam.
Tular di media sosial sebelum ini video berdurasi 21 saat memaparkan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, mencetuskan kecaman warganet.
Susulan itu, laporan polis telah dibuat oleh beberapa NGO serta Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican.