Insiden Jalur Gemilang terbalik perlu ditegur secara adil bukan selektif, kata Mujahid

Insiden Jalur Gemilang terbalik perlu ditegur secara adil bukan selektif, kata Mujahid

Timbalan presiden Amanah berkata isu itu perlu ditangani sebaikya untuk elak kebencian dan kemusnahan.

MUJAHID YUSOF RAWA
Pemasangan bendera secara terbalik, sama ada secara sengaja atau tidak boleh cetuskan salah faham, menurut Mujahid Yusof Rawa.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah menasihatkan mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan dengan menegur secara selektif berhubung insiden melibatkan Jalur Gemilang dipasang terbalik.

Timbalan Presidennya Mujahid Yusof Rawa berkata semua pihak menyebabkan berlakunya salah faham itu perlu ditegur secara adil.

“Pemasangan bendera secara terbalik, sama ada secara sengaja atau tidak, merupakan satu perbuatan yang boleh mencetuskan salah faham, menggugat semangat patriotisme, dan memberi kesan kepada keharmonian nasional.

“Jika salah faham ini berlaku secara sengaja atau tidak ianya perlu ditangani dengan semangat nasihat menasihati dan bukan mengheret insiden yang berlaku dengan kebencian serta permusuhan. Ia akan memburukkan keadaan kerana niat yang baik perlu diikuti dengan adab yang mulia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam rakaman tular baru-baru ini, seorang lelaki dilihat menaikkan jalur gemilang secara terbalik, yang dirakam oleh lelaki lain.

Lelaki itu, pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, berkata dia membetulkan kesilapan terbabit serta-merta selepas menyedarinya, tetapi kemudiannya ditahan.

Ia adalah insiden keenam berkaitan Jalur Gemilang dilaporkan berlaku sejak Januari.

Dalam pada itu, Mujahid berkata Amanah turut menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh punca insiden itu berlaku dan mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.

Ahli Dewan Negara itu berkata langkah tersebut bagi memastikan tidak ada lagi kejadian seumpama demikian berlaku dan menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat yang mengibarkan jalur gemilang.

Beliau juga mencadangkan kempen kesedaran awam perlu diperkukuh agar seluruh rakyat memahami cara pemasangan yang tepat dan betul menghayati nilai di sebalik setiap warna serta jalur pada bendera negara.

“Jalur Gemilang adalah simbol identiti dan maruah negara serta kebanggaan kita bersama. Maruah dan kehormatannya perlu dipertahankan tanpa kompromi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.