Asyraf patut ganti Fadhlina sebagai menteri pendidikan, kata Ahli Parlimen PAS

Asyraf patut ganti Fadhlina sebagai menteri pendidikan, kata Ahli Parlimen PAS

Afnan Hamimi Taib Azamudden doa pengerusi Mara menang pilihan raya agar dapat jadi menteri.

Afnan Hamimi Taib Azamudde
Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini. Turut kelihatan di kirinya, Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan. (Gambar YouTube)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki wajar menggantikan Fadhlina Sidek sebagai menteri pendidikan, yang didakwa gagal menangani isu buli di sekolah dengan berkesan.

Merujuk kes di Melaka bulan lepas, Afnan berkata, Asyraf bertindak pantas membuang enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas mereka didapati terlibat dalam kegiatan buli.

“Saya rasa (Asyraf) patut jadi menteri pendidikan. Satu-satunya masalah adalah beliau belum menang (kerusi Parlimen),” kata Ahli Parlimen PAS itu pada sidang media di Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini

“Saya berdoa supaya beliau menang dalam pilihan raya akan datang supaya dapat menggantikan menteri pendidikan sedia ada.”

Enam pelajar MRSM Melaka itu bukanlah yang pertama dibuang sekolah selepas terlibat dalam kejadian buli.

Pada April, tujuh pelajar sebuah MRSM di Pulau Pinang dibuang sekolah kerana membuli seorang rakan seasrama, dan dua bulan kemudian, enam pelajar yang membuli seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah MRSM di Besut, Terengganu, turut menerima nasib yang sama.

Mengulas keresahan orang ramai berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, Afnan berkata, ibu bapa semakin bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan mula hilang kepercayaan terhadap institusi pendidikan

“… Menteri pendidikan memberi jaminan bahawa sekolah kita masih selamat, tetapi masyarakat tidak mahu sekadar mendengar jaminan lisan sahaja kerana keadaan sudah serius, dengan banyak kes buli telah berlaku di sekolah,” katanya.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di HQE I pada 17 Julai lepas, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Susulan ketidakjelasan berhubung punca kematiannya, beberapa protes diadakan di Sabah untuk menuntut keadilan bagi remaja berusia 13 tahun itu.

Sabtu lepas, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.

Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I semalam dan jenazahnya sudah dikebumikan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.