
“Sudah dijangkakan. Sudah minta dari awal (lagi),” katanya ringkas ketika diminta mengulas pengesahan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR Ampang.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas merasmikan Konvensyen Parti Progresif Rakyat (MyPPP) Selangor.
Mengulas kemungkinan Zafrul bertanding di Ampang, Megat berkata, pihaknya sedia melawan mana-mana bekas pemimpin Umno yang menentang calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya.
“Siapa yang bertanding lawan lambang BN, kita lawan habis-habisan. Tak kira (Tengku) Zafrul atau Khir Toyo (bekas menteri besar Selangor),” katanya.
Tengku Zafrul, 51, mengumumkan pada Mei lepas beliau keluar Umno, parti yang disertainya sejak 1997, dan berhasrat menyertai PKR.
Pada Jumaat lepas, Bernama memetik Tengku Zafrul mengesahkan beliau sudah menjadi ahli PKR Ampang.
Pengumuman itu disusuli pengesahan oleh Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh semalam yang berkata, permohonan menteri pelaburan, perdagangan dan industri menyertai parti komponen Pakatan Harapan itu diluluskan Majlis Pimpinan Pusat dalam mesyuarat 26 Julai lepas.
Dalam pada itu, mengenai hubungan dengan parti komponen BN lain, Megat berkata, hubungan Umno Selangor dengan MIC negeri itu dalam keadaan baik.
Buat masa ini, katanya, tiada usul dikemukakan MIC Selangor untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), seperti cawangan parti itu di Kedah dan Pulau Pinang yang dilaporkan meluluskan usul untuk bekerjasama dengan gabungan pembangkang.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan semua ketua bahagian MIC dalam Selangor,” katanya.
“Belum dengar di Selangor ada cadangan (atau) pengisytiharan yang tertentu dibuat. Pendekatan kita adalah lebih kepada bagaimana boleh duduk semeja dan cari jalan selesaikan sebarang perbezaan dalam kalangan kita.”