Kematian Zara: Percaya polis untuk siasat, jangan buat andaian, pesan Hajiji

Kematian Zara: Percaya polis untuk siasat, jangan buat andaian, pesan Hajiji

Ketua menteri Sabah gesa orang ramai dapatkan maklumat daripada sumber sahih.

hajiji
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor nasihat orang ramai agar tidak buat andaian sesuka hati mengenai kematian Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor meminta orang ramai agar memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa, terutamanya polis, untuk menyiasat kes kematian Zara Qairina Mahathir dengan terperinci.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian sesuka hati, sebaliknya mendapatkan maklumat mengenai kematian pelajar Tingkatan Satu itu daripada sumber yang sahih.

“Kita kerajaan negeri bersimpati dengan kejadian yang berlaku. Tetapi orang ramai jangan buat andaian bermacam-macam, kita tunggu proses undang-undang berjalan sebaik mungkin.

“Sekarang ini bermacam sudah andaian dibuat yang saya tengok tidak betul … beri kepercayaan pihak polis siasat dan nanti diumum bila hasil siasatan selesai,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik di Tuaran, lapor Bernama.

Semalam, jenazah remaja berusia 13 tahun itu digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) malam tadi untuk proses bedah siasat, yang dijangka selesai hari ini.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di HQE I pada 17 Julai, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.