
Setiausaha Urimai, Satees Muniandy, berkata di sebalik dakwaan dipinggirkan, MIC Pulau Pinang menikmati pelbagai faedah hasil kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, termasuk jawatan pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu negeri.
“Pengerusi MIC Pulau Pinang dilantik sebagai pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu negeri hasil pakatan politik PH-BN di negeri ini. Kalau betul bermaruah dan rasa dipinggirkan Umno dalam BN, mengapa menerima jawatan itu?
“Bukan itu sahaja, berapa ramai ahli MIC menerima pingat sempena hari lahir Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang dicadangkan melalui parti itu sendiri?” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, jika benar MIC Pulau Pinang mahu mempertahankan maruah, mereka wajar menolak pelantikan yang diberikan melalui kuota BN, termasuk jawatan dalam Lembaga Wakaf Hindu negeri.
Satees tidak menolak kemungkinan drama bersiri ciptaan MIC itu demi meraih lebih banyak ‘habuan’, termasuk jawatan dan pengiktirafan.
“Masyarakat India Pulau Pinang sedang ketawa dengan jenaka MIC Pulau Pinang ini.”
MIC Pulau Pinang dalam mesyuarat agung tahunannya semalam meluluskan usul keluar BN, mengikut jejak MIC Kedah Jumaat lalu.
MIC Kedah turut meluluskan usul bekerjasama dengan Perikatan Nasional pada PRU16.
Ketua MIC Pulau Pinang, J Dhinagaran, mendakwa BN tidak berkongsi sebarang peluang dengan parti itu, termasuk jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan.