
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata pelbagai alasan diberikan sebenarnya menunjukkan pembangkang tidak berani dan cukup sokongan di Dewan Rakyat.
Menurut pemimpin DAP itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata usul undi tidak percaya akan bergantung kepada satu lagi usul lain manakala Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula cabar kerajaan membenarkan undi secara sulit.
“Kalau usul pun tidak masuk daripada pihak pembangkang, bagaimana untuk tentukan undian sulit atau tidak?
“Masukkan usul, jangan omong kosong sahaja. Rakyat sudah bosan. Sudah berminggu sejak himpunan pembangkang, hanya cakap mahu masuk usul,” katanya di Facebook.
“Sebenarnya mereka tidak berani dan tidak cukup bilang. Hanya bersuara untuk puaskan hati penyokong yang semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pembangkang.”
Pada 21 Jul lalu, Anwar berkata kerajaan tidak akan menghalang sebarang usul undi tidak percaya dibawa di Parlimen di tengah desakan pembangkang supaya beliau meletakkan jawatan.
Anwar berkata dia telah berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bagi memastikan jika usul sedemikian dibentangkan serta dibahaskan serta-merta.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan. Dewan Rakyat sesi kali ini bersidang sejak 21 Julai lalu dan akan tamat 28 Ogos depan.