
Pengerusi BN Perak itu berkata, beliau mengekalkan hubungan baik dengan Pengerusi MIC negeri, M Ramasamy dan pemimpin lain dari parti terbabit.
Beliau berkata, BN Perak tidak pernah meminggirkan MIC negeri, walaupun tidak mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri.
“Wakil MIC diberikan peranan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, selain sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya menurut Berita Harian selepas Karnival Sukan Bendang Komuniti Perak Sejahtera 2030 Peringkat Hilir Perak 2025 di Teluk Intan.
“Mereka sentiasa berhubung dengan saya dan seperti saya sebutkan sebelum ini, walaupun tiada Adun dari MIC, tetapi ada seorang wakil mereka dalam lembaga pengarah Lembaga Air Perak.”
Saarani berkata, terdapat 14 pemimpin MIC yang dilantik ahli majlis PBT.
“Itulah bukti (MIC Perak tidak dipinggirkan) dengan jawatan-jawatan itu. Kalau lepas ini mereka jadi pembangkang, maka tak dapat apa-apa.”
Beliau mengulas hubungan MIC dalam BN Perak selepas MIC Kedah dan Pulau Pinang meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional.