
Isham dalam satu video di Facebook berkata Malaysia kini berdepan masalah itu seperti pemberian projek kepada taikun untuk mendapat balasan rasuah yang didakwanya turut menjadi punca kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Dakwanya, masalah itu turut berlaku kepada parti lain memerintah kerajaan dan amalan terbabit boleh diselesaikan jika ada akta khas berkaitan pendanaan politik.
“Perkara itu memerlukan perdana menteri yang berjuang dan datang dari satu parti…kalau tengok PAS paling kurang sekali ada masalah rasuah.
“Sebab itu saya nak bekerja bersama dengan PAS dan menjadikannya sebagai perdana menteri,” katanya yang mengisytiharkan dirinya bebas dan bukan ahli parti itu.
Isham, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dipecat daripada parti itu pada Disember 2023 kerana kelantangannya terutama berkait kerjasama dengan DAP menerusi kerajaan perpaduan.
Sejak pemecatannya, beliau dilihat bergerak dengan pembangkang termasuk berucap pada perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, 26 Julai lalu.
Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan satu sama lain.
November tahun lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disahkan sebagai calon rasmi PN untuk PRU16, sambil menegaskan PAS wajar mengetuai gabungan itu.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar antara pemimpin PAS disebut-sebut berpotensi diangkat calon mengetuai Putrajaya.
Namun, beberapa pemimpin dalam Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.
Bagaimanapun pada 29 Julai lalu, Hashim mengatakan PN hanya akan memutuskan siapa yang bakal menjadi calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.