
Bernama melaporkan, jenazahnya dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, kira-kira 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda memberitahu pemberita, tiada situasi tidak diingini berlaku ketika orang ramai berkumpul di pekarangan hospital itu sejak pagi tadi.
“Semua dalam keadaan aman, saya ucapkan terima kasih atas kerjasama semua. Saya mohon selepas ini orang ramai beri kerjasama untuk bersurai,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Semalam, jenazah remaja berusia 13 tahun itu digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses bedah siasat.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di HQE I pada 17 Julai, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.