
Wanita asing yang hanya mahu dikenali Mia, 35, mendakwa membuat laporan di IPD Dang Wangi pada 5 Dis 2023.
Dia mendakwa dicederakan secara fizikal dan telefon bimbitnya dirosakkan lelaki terbabit dalam kejadian yang dikatakan dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
“Walaupun bukti telah diserahkan, hampir dua tahun telah berlalu, tetapi sehingga hari ini tiada sebarang kemajuan dalam kes ini,” katanya pada sidang media di depan IPD Dang Wangi.
Turut hadir peguam Goh Cia Yee yang mewakili Mia berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara awal tahun lepas.
“Bulan lalu, pegawai penyiasat memaklumkan kes berkenaan masih dalam penelitian jabatan itu.”
Sementara itu, Mia mendakwa dia menjalin hubungan dengan lelaki terbabit pada 2021 dan hamil pada Disember tahun sama.
“Walaupun tidak bersalah, saya dipenjarakan semasa hamil atas insiden lain, manakala pasangan saya dibebaskan,” katanya yang enggan mengulas lanjut kes itu.
“Selepas dibebaskan, saya memutuskan hubungan itu, namun mendesak dia bertanggungjawab atas anak kami, termasuk sokongan kewangan.”
Dia juga mendakwa diganggu dalam talian, sebelum didatangi individu mengaku polis yang tidak mengemukakan dokumen sah.
“Saya telah membuat laporan polis dan mendokumentasikan segala-galanya,” katanya.
FMT telah menghubungi Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman untuk mendapatkan maklum balas.