Wanita kena ‘love scam’ rugi lebih RM2 juta

Wanita kena ‘love scam’ rugi lebih RM2 juta

Mangsa berusia 53 tahun berkenalan dengan suspek yang mendakwa warga Singapura dan menjalankan perniagaan pemasangan grid elektrik dengan kerajaan Oman.

scam
Mangsa membuat 58 kali transaksi selepas suspek meminta membantunya membeli bahan mentah bagi perniagaannya, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Alwi Zainal Abidin.
PETALING JAYA:
Seorang pengurus kerugian lebih RM2.34 juta akibat diperdaya ‘love scam’ selepas berkenalan dengan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai warga Singapura.

Dalam kejadian itu, wanita berusia 53 tahun terbabit dikatakan telah diperkenalkan kepada suspek oleh ibu saudaranya pada Februari tahun lalu dan mahu menjodohkan mereka selepas mengenali lelaki itu pada satu seminar.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata, suspek yang dikenali sebagai ‘Perry Chen’ itu didakwa menetap di Ottawa, Kanada dan berhubung dengan mangsa menerusi WhatsApp.

“Namun sebulan kemudian, lelaki itu mendakwa dia menjalankan perniagaan pemasangan grid elektrik dengan kerajaan Oman.

“Suspek meminta pertolongan daripada mangsa bagi membuat pindahan wang pembelian bahan mentah untuk projeknya menerusi akaun suspek dengan alasan capaian internet di Oman tidak stabil,” katanya dalam kenyataan media, menurut Harian Metro.

Mohd Alwi berkata mangsa kemudiannya melakukan pemindahan wang sebanyak 58 kali ke sembilan akaun bank tempatan seperti diminta suspek, antara Mac hingga Ogos tahun lalu.

Katanya, semua transaksi itu membabitkan wang melebihi RM1.9 juta.

“Pada September berikutnya, suspek memberitahu mangsa bahawa dia sudah mendepositkan cek berjumlah USD404,500 (RM1.71 juta) ke satu akaun bagi pembayaran semula wang wanita itu.

“Mangsa selepas itu dihubungi pegawai khidmat pelanggan bank berkenaan bagi cawangan Malaysia, yang mendakwa mangsa perlu membuat pembayaran caj bank jika mahu menunaikan cek berkenaan.

“Antara September 2024 hingga 4 Julai lalu, mangsa sudah membuat sebanyak 13 transaksi ke lima akaun bank tempatan berbeza berjumlah RM399,407,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit akhirnya menyedari telah diperdaya apabila alasan yang diberikan bagi pembayaran caj bank adalah tidak munasabah.

“Dia membuat laporan di IPD Timur Laut di sini, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.