Persatuan Kristian, Hindu, Buddha sertai himpunan Gaza

Persatuan Kristian, Hindu, Buddha sertai himpunan Gaza

Pengarah himpunan Mohd Apandi Mohamad berkata kehadiran mereka bagi menentang keganasan dan memandang berat isu kemanusiaan.

Himpunan Palestin
Himpunan ‘Malaysia Bangkit untuk Gaza’ papar solidariti rakyat melawan genosid, pembebasan Al-Aqsa dan pengembalian hak rakyat Palestin.
KUALA LUMPUR:
Penganjuran himpunan ‘Malaysia Bangkit untuk Gaza’ turut disertai persatuan agama seperti Kristian, Hindu, dan Buddha.

Pengarah himpunan, Mohd Apandi Mohamad, berkata kehadiran mereka menunjukkan tujuan utama bagi menyampaikan mesej bukan sekadar menentang keganasan, tetapi berkait isu kemanusiaan.

“Petang tadi semua persatuan-persatuan agama datang memberi ucapan. Pastor Kristian, Hindu, Buddha, semua memberi ucapan pada petang tadi.

“Saya nak menunjukkan program ini berhasrat untuk menunjukkan bila kepada satu tujuan…kita (rakyat) Malaysia nak menunjukkan ‘we are one’,” katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka.

Terdahulu, lebih 2,000 peserta mula berkumpul di Dataran Merdeka dalam himpunan sejak 5 petang tadi.

Jumlah peserta dijangka terus meningkat lebih 3,000 hingga acara berakhir.

Dalam pada itu, Apandi berkata pada hujung acara himpunan, pihaknya akan membentangkan deklarasi Malaysia untuk Palestin.

Beliau berkata, deklarasi itu akan disampaikan kepada pihak berwajib termasuk kerajaan.

“Ini permulaan. Kita akan meneruskan kerja ini sehingga kita lihat Gaza itu dibebaskan.

“Deklarasi kita sekarang mendesak supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meneruskan keputusan yang telah diambil oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pendudukan berterusan Israel di wilayah Palestin. Jangan dibiarkan keputusan itu tergantung begitu saja,” katanya.

Himpunan anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) itu bagi menyatakan solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menghentikan genosid di Gaza, membebaskan Al-Aqsa, dan mengembalikan hak rakyat Palestin disertai lebih 20 NGO, penuntut universiti serta masyarakat awam.

Antara NGO terlibat – Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (Haluan), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Gerakan Pembela Ummah, dan Muslim Care Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.