Pelbagai projek dalam RMK13 bukti sokongan pusat kepada Kelantan, kata MB

Pelbagai projek dalam RMK13 bukti sokongan pusat kepada Kelantan, kata MB

Mohd Nassuruddin Daud berkata RMK13 telah diteliti dengan baik terutama libat aspek pembangunan strategik kepada Kelantan yang beri kesejahteraan kepada rakyat.

Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud Anwar ibrahim bernama pic 9825
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam majlis hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Peruntukan pelbagai projek pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini menunjukkan sokongan berterusan kerajaan persekutuan kepada negeri ini, kata Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, pembentangan RMK13 telah diteliti dengan baik, terutama melibatkan aspek pembangunan strategik kepada Kelantan yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada perdana menteri atas peruntukan dan sokongan berterusan kepada Kelantan.

“Pelbagai projek besar telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di Kelantan seperti pembinaan loji rawatan air di Machang, pembangunan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), pengoperasian ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), pembangunan hab ekonomi biru, penaiktarafan pelabuhan Tok Bali serta pelaksanaan projek tebatan banjir di Sungai Golok,” katanya pada perasmian majlis penutup Program Madani Rakyat (PMR) Kelantan 2025.

Nassuruddin berkata perkara itu adalah langkah signifikan dan disambut baik kerajaan Kelantan serta seluruh rakyat negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan juga mengalu-alukan hasrat persekutuan untuk memberikan tumpuan khusus kepada negeri dikategorikan sebagai kurang membangun agar mampu menangani ketidakseimbangan pembangunan.

Nassuruddin berkata, Kelantan turut berharap Anwar yang juga menteri kewangan boleh memberi perhatian kepada beberapa projek senarai keutamaan negeri ini yang masih belum diluluskan, namun amat penting dari sudut keperluan pembangunan dan keselamatan rakyat.

Antara projek itu, katanya ialah pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai sebagai struktur mitigasi banjir, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang, pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara.

“Kami amat berharap kerajaan persekutuan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap projek-projek ini dan memastikan peruntukan yang diperlukan dapat disalurkan dalam tempoh terdekat.

“Kita percaya hanya dengan kerjasama erat yang berterusan, disertai semangat saling memperkukuh antara pusat dan negeri, maka agenda pembangunan menyeluruh yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Nassuruddin berkata, penganjuran PMR 2025 di Kelantan diadakan dengan tersusun dan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif yang diketengahkan selama tiga hari program itu berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.