
Jumlah peserta dijangka terus meningkat menjelang acara kemuncak malam ini dengan pengisian antaranya persembahan puisi, sajak, solat maghrib dan hajat, forum jeritan Gaza, tayangan khas secara langsung dari Gaza dan diakhiri ucapan wakil Palestin.
Perhimpunan dijangka tamat pada 11 malam ini.
Tinjauan FMT mendapati, seawal 3.30 petang peserta berkumpul di Masjid Negara, Masjid Jamek dan Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Kebanyakan yang hadir mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti Malaysia kepada negara itu.

Mereka juga melaungkan ‘bebas Palestin’, ‘hancur Israel’ sambil membawa plakad antaranya ‘Palestin akan Bebas’ dan ‘Biarkan Gaza Bebas’.
Himpunan anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) itu bagi menyatakan solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menghentikan genosid di Gaza, membebaskan Al-Aqsa dan mengembalikan hak rakyat Palestin disertai lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO), penuntut universiti serta masyarakat awam.
Antara NGO terlibat adalah Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (Haluan), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Gerakan Pembela Ummah dan Muslim Care Malaysia.

Tinjauan juga mendapati lalu lintas lancar walaupun hujan lebat dengan polis bersama Jabatan Amal Malaysia berada di lokasi bagi mengawal keadaan.
Semalam, Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, menasihati penganjur dan peserta mematuhi peraturan serta undang-undang semasa berhimpun.
Katanya, peserta perlu mematuhi larangan membawa objek tajam seperti besi atau kayu, senjata berbahaya seperti pisau dan parang, serta membawa atau membakar mercun, bunga api, bom asap atau suar semasa perhimpunan.