
Mangsa dikenali Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya Ong Yik Leong, 26, diserang seorang lelaki penganggur yang didakwa menyimbah pencair sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri kira-kira 10 malam.
Gan Kin In, 80, berkata anak perempuannya itu tiba di Bangkok pada Rabu untuk bercuti, sehari sebelum kejadian berlaku.
“Hati saya berasa tidak sedap apabila Xiao Zhen memberitahu minggu lalu bahawa dia merancang untuk bercuti ke Thailand bersama teman lelakinya.
“Terlalu banyak kejadian berlaku di Thailand tahun ini, dan saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk melancong ke sini.
“Tetapi Xiao Zhen meyakinkan saya bahawa ia selamat,” katanya menurut Bernama ketika ditemui di King Chulalongkorn Memorial Hospital.

Beliau berkata, kedua-dua keluarga telah meminta laporan perubatan mengenai keadaan semasa mangsa semasa taklimat ringkas dengan pihak berkuasa Thailand dan kakitangan perubatan hospital.
Kin In berkata, keluarga berharap mangsa dapat dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin berikutan kekangan penginapan di negara asing.
“Kami baru tiba di Bangkok petang ini, dan pihak berkuasa Thailand telah mengaturkan taklimat serta lawatan untuk kami. Selain itu, kami juga berharap laporan perubatan dapat diberikan supaya kami boleh merujuk kepada doktor di Malaysia mengenai keadaan semasa mereka atau kemungkinan membawa mereka pulang dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, Xiao Zhen kini dirawat di unit rawatan kebakaran, mengalami 36% lecur tahap kedua pada muka, dada dan lengan.
“Dia sedar, berada dalam keadaan stabil dan berkomunikasi dengan menulis. Doktor memaklumkan dia mungkin memerlukan kira-kira sebulan untuk pulih,” katanya.
Sementara itu, Yik Leong yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Police General Hospital juga berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian pada Khamis, Xiao Zhen dan Yik Leong dibakar seorang lelaki berusia 30 tahun dari wilayah Sa Kaeo, yang kemudian ditahan orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.