
Noor Aziah Mohd Awal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Malaysia sudah mempunyai sistem keadilan jenayah bagi memulihkan mereka yang terlibat dalam gejala itu.

“Kita ada mahkamah bagi kanak-kanak. Prosedurnya mesra kanak-kanak dan jika didapati bersalah, mereka boleh dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Sekolah Tunas Bakti atau penjara,” katanya kepada FMT.
Mengakui bimbang dengan peningkatan kes buli, bagaimanapun pakar undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak itu berkata menghantar ke sekolah ‘boot camp’ tidak akan memulihkan pelaku.
Bekas pesuruhjaya kanak-kanak itu berkata, sebaliknya pelaku perlu dipulihkan bersama oleh masyarakat dan ahli keluarga.
“Bagi kanak-kanak yang melakukan buli, cara terbaik ialah mengurus mereka melalui program ‘lencongan’. Ia boleh digunakan bagi kesalahan buli yang ringan. Mereka yang ditangkap tidak dihadapkan ke mahkamah tetapi dibuat program khidmat masyarakat,” katanya.
Pada 4 Ogos lalu, ilmuwan seni bina Islam dan pengulas isu pendidikan serta politik Tajuddin Rasdi membangkitkan keperluan negara mempunyai sekolah ‘boot camp’ bagi menangani gejala buli.
Katanya, sekolah ala ketenteraan itu hanya mempunyai dua objektif iaitu disiplin yang kuat dan sifat menghormati manusia lain bagi ‘mengajar’ pembuli supaya mereka rasa langit tinggi atau rendah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Naqiuddin Dahamat Azam, berkata ‘boot camp’ mungkin membantu sesetengah pelajar dalam jangka pendek, tetapi tanpa intervensi psikososial menyeluruh, pelaku boleh kembali kepada tingkah laku asal selepas tamat program.
Katanya, persekitaran ala ketenteraan yang terlalu keras dan berasaskan hukuman berisiko menimbulkan kesan trauma baharu kepada pelajar terutama jika tidak disertai pendekatan psikososial dan pemulihan emosi yang sesuai.
Menurutnya, pelajar yang dihantar ke ‘boot camp’ juga berisiko dipandang serong sekali gus menjejaskan harga diri dan peluang penyesuaian dalam masyarakat selepas tamat program.
“Pelaksanaan boot camp perlu diiringi pertimbangan psikologi secara profesional, pendekatan restoratif dan kawalan etika yang ketat jika ia ingin dijadikan satu bentuk pemulihan yang praktikal,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan lebih praktikal dan menyeluruh bagi melatih pelajar lebih berdisiplin serta menghormati orang lain ialah melalui pendidikan sosial-emosi diterapkan secara sistematik.
“Program pendidikan ini dapat membantu pelajar membina kemahiran empati, kawalan emosi, pengurusan konflik dan tanggungjawab sosial. Dalam kajian empirikal dilaksanakan di luar negara, kaedah ini terbukti berkesan mengurangkan insiden buli serta meningkatkan kesejahteraan psikologi pelajar,” katanya.