Guru pondok perlu kuasai IT, AI elak serangan pemikiran, kata PM

Guru pondok perlu kuasai IT, AI elak serangan pemikiran, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kegagalan menguasai teknologi terkini dan AI boleh menyebabkan institusi pondok tewas dalam menghadapi 'serangan baharu'.

anwar ibrahim bachok
Anwar Ibrahim (dua dari kanan) beramah mesra dengan guru pondok pada Majlis Perasmian Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM kampus Machang hari ini. (Gambar Bernama)
MACHANG:
Guru pondok perlu menguasai teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi cabaran era digital, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kegagalan menguasai teknologi terkini dan AI boleh menyebabkan institusi pondok tewas dalam menghadapi ‘serangan baharu’ menggantikan bentuk penjajahan dahulu.

“Kalau guru-guru pondok tidak menguasai teknologi baharu dan AI, kita akan kalah kerana ini adalah serangan baharu. Jika dahulu bentuknya penjajahan, kini ia serangan pemikiran.

“Kalau kita tidak kuasai, orang lain akan menguasainya. Anak-anak kita akan menggunakan AI yang dibangunkan berasaskan kerangka Amerika Syarikat atau Perancis.

“Jadi, bagaimana kita hendak ubah pendekatan ini? Caranya ialah memastikan anak-anak memiliki ketahanan jiwa, kefahaman Islam, kecerdasan dan kebijaksanaan untuk menentukan hala tuju mereka,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM kampus Machang, di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud.

Anwar turut memaklumkan tiba masanya benteng pertahanan sejarah umat Islam dibangunkan semula bagi melawan pengaruh sekular.

“Bulan lalu, saya memanggil pegawai Kementerian Kewangan untuk mencari jalan memilih pondok yang boleh dijadikan benteng semula. Dengan cara itu, barulah Madani dapat diwujudkan dalam erti kata sebenar.”

Terdahulu, Anwar menyampaikan sumbangan RM1.03 juta kepada wakil -pondok yang menghadiri Program Muzakarah Umara’ dan Ulama Pondok 2025.

Sebelum ini, beliau pernah menegaskan komitmen kerajaan untuk memulih dan memartabatkan semula institusi pondok supaya kekal sebagai benteng pertahanan akidah, akhlak serta sahsiah umat Islam, selari tuntutan semasa.

Usaha itu membabitkan kerjasama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bagi memastikan sekolah agama serta pondok daif dapat dibangunkan dengan kemudahan dan teknologi baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.