Dibuang MRSM kerana buli, Asyraf Wajdi sedia berdepan saman ibu bapa

Dibuang MRSM kerana buli, Asyraf Wajdi sedia berdepan saman ibu bapa

Pengerusi Mara itu berkata keutamaannya ialah keselamatan majoriti pelajar, bukan melindungi mereka yang bersikap samseng.

Asyraf Wajdi Dusuki
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya menentang buli dan mengulangi slogannya, ‘#YouTouchYouGo’.
PETALING JAYA:
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana terlibat dalam kes buli merancang untuk menyamannya dan agensi itu.

Beliau bagaimanapun berkata, keutamaannya adalah menjaga keselamatan majoriti pelajar dan bukannya melindungi segelintir yang berperangai samseng.

“Saya katakan Bring it on! #YouTouchYouGo,” katanya di Facebook.

Namun, Asyraf tidak memberikan butiran lanjut mengenai kes buli atau kes yang dipersoalkan.

Terdapat beberapa kes pelajar dibuang MRSM tahun ini termasuk enam pelajar MRSM di Melaka, selepas didapati terlibat dalam kejadian buli pada 18 Julai lalu.

Asyraf berkata, dia menerima banyak makluman media sosial mengenai kejadian itu sejak 19 Julai lalu dan segera mengarahkan pengurusan Mara mengemukakan laporan, yang mengesahkan kes itu.

Bulan sebelumnya, enam lagi pelajar yang membuli seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah MRSM di Besut, Terengganu, telah dibuang.

Pada April, sebuah MRSM di Pulau Pinang membuang tujuh pelajar kerana membuli rakannya.

Bulan lepas, Asyraf mengumumkan Mara telah melantik bekas tentera dan bekas polis sebagai warden asrama untuk dua MRSM, satu di Terengganu dan satu lagi di Pulau Pinang, di bawah inisiatif perintis bermula bulan ini untuk mengelakkan kegiatan buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.