Lelaki berpisau tarik bayi di pasar raya

Lelaki berpisau tarik bayi di pasar raya

Suspek bertindak demikian dalam cubaan melepaskan diri selepas dikesan membawa beberapa makanan laut tanpa bayar.

Pekerja pasar raya dan orang awam bergelut dengan seorang lelaki Vietnam yang menarik bayi berusia 11 bulan sambil memegang pisau. (Gambar Gacebook)
PETALING JAYA:
Orang awam berjaya menyelamatkan bayi ditarik lelaki warga asing bersenjatakan pisau dalam cubaan melarikan diri selepas disyaki mencuri, dalam kejadian di sebuah pasar raya di Butterworth.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata lelaki Vietnam berkenaan sebelum itu ingin melarikan diri dengan membawa beberapa makanan laut yang telah ditimbang tanpa membuat pembayaran.

Katanya, dalam kejadian 12.45 tengah hari tadi, penyelia bahagian pasar raya itu dapat menangkap suspek, namun lelaki itu terlepas.

“Dalam usaha menangkap semula, suspek bertindak menarik seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sambil memegang pisau.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa serta beberapa orang awam di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Lelaki berkenaan berjaya ditangkap dengan bantuan beberapa pekerja pasar raya dan orang awam, sebelum diserahkan kepada polis.

Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 324 KK dengan telah mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 506 KK kerana kesalahan ugutan jenayah.”

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok bagi permohonan reman.

Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Shuheri Abd Rani di talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.