
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menyifatkan tindakan AGC mengarahkan polis menggali semula kubur pelajar Tingkatan 1 itu amat bertepatan.
“Sewajarnya dari peringkat awal lagi dalam kes-kes yang sesuatu kematian tidak jelas punca dan situasinya, bedah siasat wajib dilaksanakan untuk mengelakkan sebarang isu berbangkit sebagaimana yang berlaku dalam kes ini.
“Dalam keadaan itu, pegawai penyiasat mempunyai kewajipan untuk menentukannya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah. Diharap polis membuat tindakan susulan segera untuk proses bedah siasat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, sungguhpun mungkin masih terlalu awal untuk diputuskan, namun pihak berkuasa perlu terbuka untuk mempertimbangkan diwujudkan inkues jika keadaan menuntut kelak.
“Prosiding inkues adalah platform yang tersedia dalam sistem perundangan negara untuk membolehkan segala perkara dan situasi diteliti melalui sebanyak mungkin saksi yang relevan. Orang awam pula diberikan akses untuk mengikutinya secara terbuka dan mendapat maklumat.
“Ini amat penting dalam keadaan sesuatu kes yang telah mendapat perhatian umum luar biasa dan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah,” katanya.
Armizan mengakui memang ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan membuat spekulasi atas motif tertentu, namun lebih ramai yang ingin mencari kebenaran dan menuntut keadilan.
Beliau berkata, keadilan perlu ditegakkan buat Zara, dengan spekulasi dan fitnah perlu dibendung melalui proses yang telus serta teratur berpaksikan undang-undang.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Remaja itu meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokannya.
Semalam, AGC mengarahkan polis menggali semula kubur Zara untuk bedah siasat bagi mendapatkan maklumat dan bukti tambahan.