Selangor cadang silambam dipertanding di Sukma 2026

Selangor cadang silambam dipertanding di Sukma 2026

Exco Selangor Najwan Halimi berkata kerajaan turut cadang acara petanque dan muaythai dipertandingkan pada temasya di negeri itu.

generic silambam
Ada permintaan acara seni bela diri tradisional kaum India, silambam dipertandingkan pada Sukma 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor mencadangkan acara silambam dipertandingkan Sukma 2026 yang sebelum ini dikecualikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma Selangor 2026 berkata perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor dipengerusikan Menteri Besar Amirudin Shari, hari ini.

Menurutnya, selain seni bela diri tradisional kaum India itu, kerajaan negeri turut mencadangkan acara petanque dan muaythai juga dipertandingkan pada temasya terbabit.

“Bagaimanapun, sebarang keputusan berhubung cadangan itu tertakluk kepada persetujuan semua wakil-wakil negeri yang menganggotai Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukama yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Ia juga perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, cadangan itu bukti dan komitmen Kerajaan Selangor untuk memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan bermula di peringkat akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan.

“Pada masa sama, saya menyeru semua pihak menghentikan sebarang usaha mempolitikkan sukan dengan memainkan sentimen perkauman sempit dan jumud.

“Sukan medan perpaduan menyatukan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan ideologi politik yang seharusnya diraikan dalam semangat kesukanan tulen dan inklusif,” katanya.

Selasa lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma dipengerusikan Yeoh memuktamadkan beberapa keputusan penting antaranya penambahan dua sukan wajib iaitu tinju dan sofbol, menjadikan keseluruhan 30 sukan wajib perlu dipertandingkan..

Empat sukan tambahan turut diluluskan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sukan kepada 34 jenis.

“Keputusan ini adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan, bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri (Selangor),” kata MSN.

Pengumuman itu menimbulkan kritikan oleh segelintir pihak kerana mengecualikan acara silambam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.