
Baginda bertitah Malaysia menganggap Rusia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan penting.
“Hubungan diplomatik kita telah terjalin lebih lima dekad, yang diwujudkan secara rasmi pada April 1967. Beta diingatkan bahawa Malaysia antara negara Asean terawal yang menjalin hubungan dengan Moscow.
“Seperti pepatah Rusia, persahabatan lebih berharga daripada wang. Dengan semangat persahabatan inilah, beta percaya, yang akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan rakyat,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada pertemuan rasmi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace semalam.
Mengiringi Yang di-Pertuan Agong Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin yang juga menteri pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Amran Mohamad Zin dan duta besar Malaysia ke Rusia Cheong Loon Lai.
Bersama Putin pegawai-pegawai kanan Rusia termasuk Pembantu Presiden Rusia bagi Hal Ehwal Antarabangsa Yury Ushakov, Menteri Pembangunan Ekonomi Maxim Reshetnikov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Valery Falkov, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Alexander Pankin dan Timbalan Menteri Pertahanan Alexander Fomin.
Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara pertama baginda ke Rusia hingga 10 Ogos ini atas undangan Putin.
Kunjungan itu merupakan lawatan negara pertama oleh ketua negara Malaysia ke Rusia.