
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata kadar elaun sebanyak RM1,500 bagi guru sekolah di Pedalaman 3, sesetengahnya amat tidak berbaloi.
“Contohnya ada sekolah di kawasan pulau yang jauh dan kadar bayaran insentif tersebut hanya cukup membayar kos tambang bot untuk keluar ke tanah besar pada setiap dua minggu atau setiap bulan.
“Ini bermakna guru terbabit tidak dapat menggunakan bayaran insentif tersebut untuk keperluan kehidupan lain di kawasan pedalaman,” katanya kepada FMT.

Selain itu, katanya, elaun tugas pentadbiran sekolah yang merangkumi elaun tanggungjawab guru penolong kanan di sekolah rendah yang hanya dibayar RM60 sebulan tidak pernah ditambah baik sejak sekian lama.
“Kadar ini telah berusia 23 tahun, di mana kali terakhir disemak ialah pada 2002. Ia langsung tidak munasabah untuk seorang guru penolong kanan yang mempunyai tanggungjawab begitu besar di sekolah,” katanya.
Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru)l, Mohd Azizee Hasan, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mengkaji semula kadar elaun guru pedalaman dengan mengambil kira kesukaran yang dilalui mereka.
“Pada masa sama, KPM juga perlu melihat isu lebih fundamental iaitu menangani beban tugas guru serta masalah infrastruktur sekolah terutamanya yang berada di pedalaman.

“Mungkin kementerian boleh memberi insentif dalam bentuk lain bagi memastikan aspek kesejahteraan mental dan emosi guru dijaga jika cadangan mengkaji semula ini belum sesuai untuk laksana,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis Parlimen, berkata kerajaan belum bersedia mengkaji semula BIMLTK pada kadar RM1,500 dalam kategori Pedalaman 3, manakala masing-masing RM1,000 dan RM500 bagi Pedalaman 2 dan 1.
Katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam dan langkah-langkah lain yang dapat meningkatkan profesionalisme serta kesejahteraan pada pendidik secara menyeluruh pada masa ini.
Bagaimanapun, Fadhlina berkata KPM akan terus menilai dari semasa ke semasa keperluan untuk sebarang penambahbaikan berdasarkan keadaan ekonomi dan kewangan negara serta keutamaan dalam sektor pendidikan.
Pedalaman 1 merujuk lokasi tidak terlalu jauh ke dalam, Pedalaman 2: Lokasi yang berada di pertengahan pedalaman, dan Pedalaman 3: Yang paling jauh ke pedalaman.
Penentuan kategori pedalaman adalah berdasarkan beberapa kriteria, termasuk bilangan mod pengangkutan dan kos perjalanan, risiko perjalanan dan keselamatan, sumber air dan elektrik, kemudahan asas seperti sekolah, bank, dan pejabat pos.