Abang Jo, Awang Tengah sepakat terajui Sarawak, kata penganalisis

Abang Jo, Awang Tengah sepakat terajui Sarawak, kata penganalisis

Jeniri Amir berkata mereka pegang teguh budaya kesetiaan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu sejak 'Peristiwa Ming Court'.

abang Johari Openg Awang Tengah Ali Hasan
Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Timbalan Awang Tengah Ali Hasan saling melengkapi, menurut penganalisis politik Jeniri Amir.
KUCHING:
Seorang penganalisis politik menolak spekulasi wujudnya perebutan kuasa belakang tabir dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg, dan timbalan, Awang Tengah Ali Hasan, kekal sehaluan.

Bulan lalu, FMT melaporkan berlaku pertarungan senyap melibatkan pucuk pimpinan parti tersebut, dengan puak bersekutu dengan keduanya dilihat halus memposisikan diri, sekali gus berpotensi mempengaruhi hala tuju politik negeri.

Namun, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata sudah lama terjalin hubungan erat kedua-dua pemimpin, berasaskan disiplin parti serta saling menghormati — sesuatu tidak mungkin mudah diketepikan.

“Awang Tengah sentiasa menunjukkan kesetiaan (kepada Abang Johari),” kata bekas ahli akademik dari Universiti Malaysia Sarawak itu.

jeniri
Jeniri Amir.

Jeniri berkata, kesetiaan disebutkan terjalin hampir empat dekad lalu sejak ‘Peristiwa Ming Court’ pada 1987, ketika ketua menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud, berjaya mengekang percubaan bapa saudara yang juga pendulunya, Abdul Rahman Ya’kub, untuk menyingkirkan Taib daripada tampuk kuasa.

“Ketika itu, negeri berdepan kemungkinan berlakunya kudeta politik,” katanya sambil mengimbas bagaimana 27 Adun menarik sokongan ke atas Taib.

Taib bertindak balas dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) membawa PRN diadakan, lalu berjaya menumbangkan Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak ditubuhkan Rahman, sebelum parti tersebut dibubarkan pada 1991.

“Jika Taib tewas dalam PRN 1987, Rahman mungkin telah meletakkan individu lain sebagai ketua menteri,” jelas Jeniri.

Beliau turut mengiktiraf peranan Abang Johari yang memulakan kerjaya politik Awang Tengah dalam tempoh bergolak tersebut.

“Tidak ramai yang mengingatinya, tetapi Abang Jo yang cadang Awang Tengah dicalonkan bagi kerusi DUN Lawas ketika Peristiwa Ming Court memuncak,” katanya.

Awang Tengah ketika itu berusia 24 tahun, menang tanpa bertanding dan sejak itu terus mewakili kawasan berkenaan — yang dinamakan semula sebagai Bukit Sari pada 2006 — selama sembilan penggal berturut-turut.

Jeniri berkata Peristiwa Ming Court memberikan kesan jangka panjang terhadap PBB, mewujudkan budaya kesetiaan yang terus mencorak kepimpinannya sampai ke hari ini.

“Apabila Abang Johari dilantik sebagai premier pada 2017 susulan pemergian Adenan Satem, Awang Tengah memberikan sokongan penuh,” katanya.

“Jangan kita lupa, Abang Johari juga pernah diketepikan. Ketika Taib melepaskan jawatan, ramai menjangkakan Abang Johari akan mengambil alih sebagai ketua menteri.”

“Tetapi, yang dipilih ialah Adenan. Namun, Abang Johari tetap setia dan tidak mencetuskan masalah. Begitulah cara PBB mengekalkan perpaduan,” katanya merujuk kepada parti dominan itu dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.

Disiplin, struktur dalam PBB

Jeniri menyifatkan kedua-dua pemimpin itu sebagai produk budaya kepimpinan PBB yang berdisiplin dan berstruktur — ciri jarang dilihat dalam politik Semenanjung.

“Mereka berdua memahami disiplin parti. Walaupun ada cita-cita politik, ia tetap berada dalam kerangka parti. Mereka tidak berperang satu sama lain.”

Beliau berkata hierarki, kerjasama, dan disiplin menjadi prinsip teras dalam model kepimpinan PBB yang sentiasa dipertahankan Abang Johari dan Awang Tengah.

Jeniri turut menekankan sifat saling melengkapi dalam hubungan kerja keduanya, dengan Abang Johari merangka hala tuju strategik negeri, manakala Awang Tengah memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

“Abang Jo bersifat transformatif. Beliau memberi tumpuan kepada ekonomi digital, ekonomi hijau, serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. Awang Tengah pula urus pelaksanaan, khususnya dalam urusan tanah, perdagangan, perindustrian, dan sumber asli,” katanya.

“Inilah cara Sarawak menjamin perkongsian kuasa. Ia adalah kepimpinan inklusif, yang kritikal kepada kestabilan politik di sebuah negeri berbilang etnik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.