
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Mohd Nizam Jaffar berkata, persetujuan itu turut melibatkan terma rujukan (TOR) pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan Asean interim dan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan Asean (AOT).
“Alhamdulillah, secara dasar kata sepakat telah dicapai. Namun, masih terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalus dan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa yang dijadualkan esok,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mesyuarat tiga hari itu diadakan di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, dengan penyertaan 40 wakil dari Thailand dan Kemboja sebagai persediaan kepada Mesyuarat GBC Luar Biasa.
Selain Malaysia, Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan Asean interim turut disertai Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam. Misi pemantauan mereka bermula pada 3 Ogos lepas.
Semalam, Mohd Nizam berkata, Malaysia tidak menyertai mesyuarat sekretariat tersebut secara langsung, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara menjelang Mesyuarat GBC Luar Biasa esok.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam 28 Julai lepas, hasil mesyuarat khas yang diadakan di Malaysia.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, dan disertai Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Kedua-dua pemimpin mempersetujui pelaksanaan gencatan senjata susulan ketegangan yang memuncak antara dua negara Asia Tenggara itu.
Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lepas berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.