Sudut pandang tempat duduk saya ke arah blok pembangkang, kata Wee

Sudut pandang tempat duduk saya ke arah blok pembangkang, kata Wee

Presiden MCA itu bidas sindiran Ahli Parlimen DAP untuk beliau menyertai pembangkang kerana sentiasa memandang ke arah mereka.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata sepanjang perbahasan beliau sentiasa melihat teks ucapannya. (Gambar Parlimen)
PETALING JAYA:
Presiden MCA, Wee Ka Siong membidas kenyataan seorang Ahli Parlimen DAP yang secara sinis mencadangkan beliau menyertai pembangkang, dan menyifatkan kenyataan itu sebagai kebudak-budakan.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin semalam mencadangkan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menyertai PAS kerana beliau sentiasa memandang ke arah ke blok pembangkang semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat, Chong berkata Ahli Parlimen sepatutnya mengarahkan ucapannya kepada Speaker yang mempengerusikan persidangan dan bukannya ke arah mana-mana blok dalam Dewan.

Bagaimanapun, Wee berkata beliau hanya kelihatan ‘sentiasa’ menghadap ke arah blok pembangkang kerana kedudukan tempat duduknya dalam Dewan Rakyat.

Sudut pandang Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong di Dewan Rakyat. (Gambar Wee Ka Siong)

Katanya, blok pembangkang secara kebetulan berada dalam sudut pandangan beliau.

“Walaupun saya memandang ke arah Speaker, ia masih kelihatan seolah-olah saya sedang melihat ke arah pembangkang,” katanya kepada FMT.

Wee berkata keadaannya akan berbeza jika beliau duduk betul-betul di tengah-tengah.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh pilih di mana untuk saya duduk. Jadi tidak adil untuk Chong membuat dakwaan seperti itu,” katanya kepada FMT.

Wee juga berkata sepanjang perbahasan itu, beliau melihat teks ucapannya dan tidak menoleh ke kiri atau ke kanan semasa berucap.

Sindiran Chong itu hadir susulan laporan bahawa MCA dan MIC dilaporkan sedang mempertimbangkan masa depan parti itu dalam kerajaan perpaduan serta dalam Barisan Nasional kerana ketiadaan peranan dalam pentadbiran persekutuan.

PAS menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MCA dan MIC di bawah Perikatan Nasional, dengan Mursyidul Am Hashim Jasin, berkata parti Islam itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali DAP.

Wee turut menegur Chong kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu yang dianggapnya seolah-olah meremehkan sesi Dewan.

“Beliau sepatutnya kekal berbahas mengenai RMK13 dan bukannya membuat sindiran serta membesarkan perkara yang remeh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.