PRN17: GRS-PH buat pakatan, Umno Sabah sedia gerak solo, kata Bung

PRN17: GRS-PH buat pakatan, Umno Sabah sedia gerak solo, kata Bung

Ketua Umno Sabah itu dakwa pakatan GRS-PH dibentuk semata-mata untuk elak pertembungan kerusi.

Bung Moktar
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin tegaskan pihaknya tidak akan bekerjasama dengan gabungan yang tidak jujur dan tidak ikhlas.
PETALING JAYA:
Umno Sabah menyatakan kesediaan bergerak solo pada PRN akan datang, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menyifatkan kerjasama GRS-PH itu sebagai ‘pakatan panik’ dan menegaskan bahawa Umno Sabah tidak akan bekerjasama dengan gabungan yang tidak jujur dan tidak ikhlas.

“Sesuatu pakatan pilihan raya mestilah dibina atas dasar keikhlasan dan integriti, bukan sekadar perkongsian kerusi dan pemilihan calon,” katanya, lapor The Borneo Post.

Menurutnya, pakatan GRS-PH dibentuk pada saat akhir semata-mata untuk mengelakkan pertembungan kerusi, menyifatkannya sebagai ‘pakatan panik yang cuba dicantikkan’.

“Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan menyertai mana-mana kerjasama yang tidak mempunyai perpaduan yang sejati,” kata Bung, selaku ketua BN Sabah.

Pada Mei, sekretariat kerajaan perpaduan mengumumkan bahawa BN dan PH akan bekerjasama pada PRN17 di Sabah, yang mesti diadakan sebelum akhir tahun ini.

Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap agar ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama pada pilihan raya tersebut, Bung berkata, BN Sabah hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS susulan keputusan PRN.

Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan bulan lepas bahawa gabungan Sabah itu dan PH telah bersetuju untuk membentuk satu pakatan bagi menghadapi pilihan raya. Perkara ini disahkan oleh Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud.

Pengerusi BN Zahid Hamidi kemudiannya menegaskan semula bahawa pakatan gabungan itu dengan PH ‘sudah dikunci’, membayangkan kemungkinan BN dan GRS akan bertembung pada PRN Sabah akan datang.

Ahad lepas, Zahid menggesa Umno Sabah agar tidak menutup sepenuhnya pintu rundingan dengan bakal sekutu, dengan berkata ‘mungkin ada kawan dalam kalangan lawan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.