
Mengulas desakan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Arthur Sen berkait perkara itu, Bung Moktar berkata Barisan Nasional (BN) dan Umno mahu menggunakan kuasa berkenaan secara matang, mengambil kira makna perpaduan di persekutuan dan negeri.
“Kita tidak gelojoh mengumumkan sesuatu tanpa strategi.
“Kita tidak terikut-ikut rentak panik pihak lawan yang baru semalam bertengkar, hari ini bergambar bersama, esok kembali saling menikam,” katanya kepada FMT.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menegaskan Umno dan BN tidak memerlukan nasihat Arthur yang cuba mencabar dan memperlekeh autonomi Umno Sabah dalam isu kerjasama pilihan raya.
“Kami tidak perlu mana-mana pihak, termasuk PBS yang sedang ‘menyewa ruang’ dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberi cabaran atau memberi nasihat tidak diminta.
“Kami tahu bila untuk bertindak, dengan siapa perlu bekerjasama dan bila masanya untuk berdiri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Arthur dalam kenyataan mencabar Bung Moktar menggunakan kuasa autonominya dengan mengisytiharkan BN bergerak solo pada PRN.
Menurutnya, Adun Lamag itu tidak sepatutnya hanya menyatakan kesediaan bergerak solo apabila mengulas kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan GRS.
Pada Mei, sekretariat kerajaan perpaduan mengumumkan BN dan PH akan bekerjasama pada PRN17 Sabah, yang perlu diadakan sebelum akhir tahun ini.
Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap agar ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama pada pilihan raya tersebut, Bung berkata, BN Sabah hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS susulan keputusan PRN.
Bulan lalu, Hajiji mengumumkan GRS dan PH telah bersetuju untuk membentuk satu pakatan bagi menghadapi pilihan raya. Perkara ini disahkan Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud.
Zahid kemudiannya menegaskan semula bahawa pakatan gabungan itu dengan PH ‘sudah dikunci’, membayangkan kemungkinan BN dan GRS akan bertembung pada PRN Sabah akan datang.