Persenda rundingan damai, naib ketua Pemuda PKR terima LOD dari Fadhli

Persenda rundingan damai, naib ketua Pemuda PKR terima LOD dari Fadhli

Nabil Halimi berkata beliau tetap pertahan hak kritik Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Nabil Halimi Ahmad Fadhli Shaari
Nabil Halimi sahkan terima surat tuntutan dari Fadhli Shaari berhubung dakwaan menyebarkan tohmahan dan pemahaman salah berkait hantaran di media sosialnya, minggu lalu.
PETALING JAYA:
Naib Ketua Pemuda PKR Nabil Halimi mengesahkan menerima surat tuntutan (LOD) daripada Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung dakwaan menyebarkan tohmahan dan pemahaman salah berkait hantaran di media sosialnya, minggu lalu.

Nabil berkata beliau sedang meneliti kandungan surat tersebut dan akan mendapatkan nasihat guaman sebelum mengarahkan peguamnya mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya

“Saya kekal komited untuk mempertahankan hak saya sebagai warganegara yang bebas bersuara dan yakin perbezaan pandangan dalam ruang demokrasi tidak seharusnya disalahertikan atau dijadikan alasan untuk menyekat kritikan yang membina,” katanya di Facebook.

Pada 1 Ogos lalu Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata beliau akan mengeluarkan LOD kepada seorang Ahli Parlimen dan pemimpin Pemuda sebuah parti berkait hantaran di Facebooknya yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja diusahakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik karikatur kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.

Namun, beliau telah memadam hantaran itu selepas dikritik ramai. Satu laporan polis dibuat ke atasnya oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Fadhli juga tidak berhasrat memohon maaf seperti digesa pelbagai pihak antaranya Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, sebaliknya menyerahkan kepada siasatan polis.

Kritikan terhadap Fadhli turut dilontarkan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menyifatkan hantaran terbabit sebagai menghina orang lain.

Selain itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang menggesa Fadhli memohon maaf dan tidak meremehkan usaha meredakan ketegangan berlaku dalam konflik negara jiran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.