
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata sebagai pemimpin politik, Nik Zawawi perlu bercakap dengan penuh tanggungjawab dan berilmu, bukan menjual fahaman menyerah kepada takdir yang boleh melunturkan semangat rakyat untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Kita tidak harus menyamakan kemiskinan dengan takdir kekal. Usaha membela rakyat miskin adalah sebahagian daripada jihad sosial yang dituntut oleh agama dan dituntut oleh amanah sebagai pemimpin.
“Yang sebenarnya bercanggah dengan naluri manusia ialah politik yang mengenyangkan perut sendiri sambil membiarkan perut rakyat kosong,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata, mana-mana pihak terutamanya pemimpin politik tidak seharusnya memuliakan kemiskinan demi memudahkan kemalasan berfikir dan kegagalan berkhidmat.
“Rakyat bukan minta kemewahan, mereka minta keadilan. Tapi ada pemimpin yang lebih selesa membiarkan rakyat miskin agar mudah ditunggang dan diperalat atas nama ‘takdir’.
“Agenda menoktahkan kemiskinan tegar adalah usaha mulia kerajaan untuk mengangkat maruah manusia. Jangan guna nama Allah untuk halalkan rakyat kekal miskin,” katanya.
Kata Mahfuz lagi, kenyataan Zawawi itu juga bukan sahaja mengelirukan malah menyeleweng daripada ajaran Islam yang jelas menggalakkan usaha meningkatkan taraf hidup bagi keluar daripada kemiskinan.
“Jika miskin itu fitrah, untuk apa zakat, wakaf dan sedekah digalakkan dalam Islam? Jika miskin itu fitrah, mengapa Khalifah Umar Abdul Aziz terkenal kerana berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam pentadbirannya?
“Kalau benar miskin itu fitrah, YB boleh letak jawatan Ahli Parlimen atau tak perlu menerima elaun dan pendapatan sebagai Ahli Parlimen, dan hidup miskin bersama rakyat. Baru betul ikut ‘ciptaan Allah’ seperti YB dakwa,” katanya.
Zawawi ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat dilaporkan mendakwa istilah menoktahkan kemiskinan sebagai retorik kosong yang bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.
“Saya kadang-kadang rasa agak terkejut bila perkataan ‘menoktahkan kemiskinan’ disebut. Istilah sebegini sebenarnya jadi sembang kosong.
“Ia bercanggah dengan naluri fitrah sebenar yang Allah cipta manusia. Mana-mana negara mesti ada kemiskinan,” katanya seperti dilaporkan Harakah Daily.